Lepas cipta kemunculan semula pada tahun 2021 dalam saingan Liga Super, Penang kekal cemerlang dalam saingan Liga Super hanya pada musim tersebut untuk berada di tangga ketiga.
Selepas itu, skrip sama berulang buat pasukan berkenaan, apabila mereka sentiasa bergelut untuk memperbaiki kedudukan di Liga Super serta ada krisis konsistensi walau sering bertukar jurulatih.
Bagi musim 26/27, segalanya mungkin masih awal untuk diperkatakan. Tetapi pasukan tersebut seolah sudah memberi bayangan apa akan berlaku sehingga ke garisan penamat nanti.
Ya, skrip sama mungkin berulang. Penyokong sendiri seolah sudah menduga perkara serupa bakal berlaku lagi seperti musim-musim lalu, tiada kejayaan signifikan dapat dibanggakan.
Tanpa sebarang trofi domestik, layak ke pentas Asia, dan bergelut di kedudukan pertengahan liga, itu yang sering berlaku buat Penang. Satu lagi? rentak permainan yang masih hambar.
Masalah utama Penang
Sama seperti musim-musim lalu kecuali 2021, Penang hadapi isu konsistensi yang sangat ketara sebaik sahaja tirai saingan bermula, sehingga ke penghujung garisan penamat.
Mereka boleh menjadi pasukan yang sangat baik daripada segi disiplin permainan dan kreatif merancang serangan untuk mendapatkan kemenangan tidak dijangka penyokong.
Pada masa sama, Penang juga boleh menjadi sebuah pasukan yang menagih makian para penyokong, ekoran kelonglaian mereka dalam permainan sehingga mengakibatkan kekalahan tidak sepatutnya berlaku.
Masalahnya, isu seperti ini berlaku setiap musim walaupun jurulatih dan pemain bersilih ganti. Seolah ia satu sumpahan yang menjadi rutin utama buat pasukan berkenaan.
Hendak salahkan Wan Rohaimi? musim-musim terdahulu isu serupa tetap berlaku dengan konsistensi permainan Penang sentiasa menjadi pertikaian para penyokong yang tidak berpuas hati.
Kualiti import mengecewakan
Ini pun menjadi salah satu masalah utama Penang. Mereka tidak mempunyai import berkualiti tinggi untuk menjadi kunci utama kekuatan pasukan berkenaan di pentas domestik.
Hanya sebilangan pemain sahaja setiap musim yang boleh dipuji, dengan selebihnya kelab tersebut dilihat ‘membazir’ memenuhi kuota import yang dilihat bertaraf atau lebih rendah daripada tonggak tempatan.
Macam musim ini, mungkin hanya Stefano Brundo sahaja masih boleh dipuji daripada segi kualiti permainan, selepas mereka kehilangan khidmat bintang sensasi, Dylan Wenzel-Halls.
Selebihnya, sukar untuk penulis menilai apa kualiti terbaik dipertaruhkan mereka sambil mengambil nilai positif dalam diri: “saingan liga baru mula, mereka masih belum panas lagi”.
Penang macam drama Netflix
Boleh juga hendak dikatakan begini. Mereka tampil di pramusim dengan persiapan yang mengujakan para penyokong daripada segi pemain ditandatangani, atau keputusan daripada siri perlawanan persahabatan.
Sebaik tirai saingan bermula, segalanya mula menjadi cabaran getir untuk Penang hadapi dan ia berlaku sehingga penghujung liga, sebelum penyokong terpaksa menunggu musim seterusnya apa pula akan berlaku.
Sedar, nak raih trofi atau kejuaraan mungkin sukar. Penyokong pun realistik. Cuma sampai bila isu konsistensi dan lambakan import tidak berkualiti akan terus berulang?






