Penang Sekadar Kumpul Pemain ‘Buangan’?
Adakah pasukan ini sebenarnya serius untuk mengharungi saingan musim akan datang? Atau ulangi skrip sama?
Saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal bermula tidak lama lagi dengan beberapa pasukan sudah pun giat membuat persiapan dengan cara tersendiri.
Beberapa pemain baharu juga telah pun diumumkan pasukan masing-masing, dan ini termasuk Penang yang sudah pun memperkenalkan tonggak baharu mereka untuk saingan hadapan.
Sehingga kini, Penang sah mengekalkan beberapa tonggak utama mereka pada saingan lalu dan juga telah menandatangani pemain baharu di beberapa posisi.
Menjadi pertikaian pula di media sosial, apabila ramai kurang berpuas hati dengan sikap pengurusan dalam mengendalikan pasukan sebelum tirai saingan bermula.
Pertikaian ini tentunya membabitkan kualiti pemain ditandatangani/dikekalkan serta kejurulatihan yang kurang menyakinkan untuk mengharungi aksi akan datang.
Ada apa dengan muka baharu Penang?
Sehingga kini, Penang telah pun menandatangani lima pemain tempatan baharu di segenap posisi, selain turut mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa tonggak saingan lalu.
Nama Aliff Haiqal Lau (Selangor), Fazly Mazlan (Selangor), Danial Haqim (Kelantan TRW), Mohamad Khala’if (Terengganu), dan M. Rakesh (Kelantan TRW) telah pun diperkenalkan setakat ini.
Namun, beberapa pertikaian timbul, selepas beberapa penyokong di media sosial kurang berpuas hati dengan sesetengah pemain baharu diperkenalkan.
Ada yang mendakwa Penang hanya menandatangani pemain bertaraf rendah, selain beberapa rekod muka baharu itu kurang menyakinkan bersama kelab masing-masing musim lalu.
Malah, pemergian bintang import seperti Dylan Wenzel-Halls dianggap cukup mengecewakan dalam kalangan penyokong, dan mereka berharap supaya pengganti selepas ini mampu setaraf dan bukan tangkap muat sahaja.
Kredibiliti Wan Rohaimi turut dipertikai.
Pada masa sama, kredibiliti pengendali Penang, Wan Rohaimi turut menjadi pertikaian dalam sekelompok kecil penyokong kelab tersebut di media sosial.
Tanpa sebarang pencapaian terbaik musim lalu, Penang juga sekadar menamatkan cabaran mereka di kedudukan ke-10 Liga Super daripada 13 pasukan yang bertanding.
Dengan hanya enam kemenangan sahaja mampu diperoleh daripada 24 perlawanan keseluruhan, ada yang menjangkakan Penang mungkin akan membuat rombakan pada posisi kejurulatihan.
Namun, anak jati Kelantan itu terus dikekalkan oleh pengurusan Penang bagi mengharungi cabaran musim 2026/2027 di pentas domestik yang akan bermula tidak lama sahaja lagi.
Suka atau tidak, Penang perlu mengambil risiko atas apa yang mereka buat kini dengan sekurangnya segala kelemahan musim lalu mampu diatasi pada saingan hadapan.
Atau mereka perlu bersedia dengan amukan penyokong yang sudah kecewa dengan prestasi kelab sejak beberapa musim lalu tanpa sebarang pencapaian membanggakan.





