Selepas beberapa perlawanan musim ini diharungi, Terengganu kekal menjadi antara pasukan paling bermasalah untuk konsisten meraih keputusan positif.
Entah kenapa, segalanya tampak serba tidak menjadi baik daripada segi kualiti taktikal permainan, atau mutu pemain Sang Penyu sendiri dilihat kurang menyakinkan.
Jika diikutkan, senarai pemain dan kejurulatihan Terengganu musim ini dilihat lebih stabil berbanding musim-musim lalu, termasuk kembalinya Nafuzi Zain selaku pengendali utama.
Tapi pada akhirnya, para peminat masih meluahkan rasa tidak puas hati dan kurang yakin akan kemampuan pasukan berkenaan untuk mara lebih jauh pada musim 26/27.
Malah, beberapa pemain turut menjadi mangsa kritikan selepas kualiti dipamerkan mereka kadangkala dilihat menjadi asbab kepada kekalahan atau faktor Terengganu bolos.
Giliran Shahrul Nizam dikritik
Selepas beberapa musim menjadi antara tunjang kekuatan Terengganu di posisi pertahanan utama, akhirnya Shahrul Nizam mula mendapat kritikan lebih ketara daripada penyokong.
Di media sosial, nama Shahrul Nizam atau lebih dikenali sebagai Nijey menjadi mangsa kritikan ramai kerana aksi beliau selaku posisi pertahanan utama Sang Penyu tidak konsisten.
Malah, ramai menganggap beliau sewajarnya diletakkan di bangku simpanan terlebih dahulu kerana dilihat terlalu ‘selesa’ dalam senarai kesebelasan utama pasukan.
Tidak kurang ada menyifatkan Nijey sudah boleh memberi fokus kepada karier menjual ikan di pasar dan tidak lagi beraksi selaku pemain bola sepak kerana kualitinya semakin menurun.
Kritikan ini hadir selepas Terengganu sekadar mampu terikat seri 1-1 ketika berdepan Star City semalam dalam saingan Liga Super, dengan Nijey menjadi antara faktor Sang Penyu bolos kepada lawan.
Habib turut dikritik
Pada masa sama, tonggak import di posisi tengah musim ini, Habib Haroon juga antara yang konsisten menjadi topik perbincangan dalam kalangan penyokong.
Entah kenapa, kepulangan beliau kembali pada musim ini dilihat gagal mengulangi kualitinya yang sangat hebat sebelum itu untuk bergelar jeneral pasukan.
Sejak beberapa aksi lalu, Habib dilihat gagal memberikan sebarang impak yang lebih baik, daripada segi kawalan di bahagian tengah atau prestasi mengatasi pemain-pemain tempatan.
Terengganu perlu bangkit
Jika situasi serupa terus berulang, bukan suatu yang menghairankan jika penyokong terus kehilangan semangat mereka untuk kekal bersama pasukan.
Daripada segi keputusan perlawanan, mungkin ramai masih memaafkan jika ada peningkatan yang baik dipamerkan Terengganu daripada segi kualiti permainan.
Namun sekiranya ia kekal statik atau menurun, bukan suatu menghairankan jika prestasi Sang Penyu akan menjadi lebih teruk atau sama sahaja seperti musim-musim lalu tanpa sebarang kejayaan boleh dibanggakan.





