Penyerang import Negeri Sembilan, Yusuke Minagawa menjadi mangsa kritikan penyokong pasukan tersebut ekoran aksi negatif ditampilkannya buat kelab berkenaan.
Terdahulu, Negeri Sembilan sekadar mampu untuk mengikat Star City menerusi keputusan seri 2-2 ketika perlawanan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.
Ini menjadi aksi ketiga yang menyaksikan pasukan berkenaan gagal memperoleh sebarang kemenangan, termasuk perlawanan pertama kelab tersebut di pentas Piala FA.
Terdahulu, skuad kendalian Daniel Gimenez Alcaniz telah pun merekodkan kekalahan 0-2 di tangan Kelantan City yang menyaksikan pasukan tersebut mendapat kritikan keras peminat.
Apa tidaknya, mereka menganggap kekalahan di tangan wakil kelab A1 merupakan sesuatu yang cukup teruk dan tidak sepatutnya berlaku jika melihat daripada segi kualiti pemain.
Masih lagi lemau
Bertemu Star City semalam, Negeri Sembilan ketinggalan terlebih dahulu sebelum mencipta kebangkitan di separuh masa kedua untuk mengikat pelawat dan mendapatkan satu mata yang dianggap kurang memuaskan dalam kalangan peminat.
Jika dinilai pada prestasi Negeri Sembilan semalam, jelas pasukan itu mempunyai kelemahan cukup ketara daripada segi:
Identiti permainan
Disiplin pertahanan
Persefahaman di posisi serangan
Segala kelemahan ini masih lagi ketara dengan tumpuan paling penting terarah kepada kreativiti jentera serangan Negeri Sembilan merangkai gerakan untuk membuka peluang gol.
Malah posisi pertahanan juga tampak meresahkan, dengan banyak kesilapan mudah sering dibuat, walaupun mereka mempunyai barisan pemain berkualiti termasuk import.
Daniel Gimenez dilihat masih lagi bergelut untuk menyesuaikan identiti permainan beliau buat Hoben Jang Hoben, dengan aksi ditampilkan pasukan berkenaan masih lagi berada pada tahap sukar untuk diterima peminat.
Yusuke Minagawa dikecam
Jika kita imbas kembali sejak awal perlawanan mereka menentang Melaka FC, kualiti import baharu Negeri Sembilan antara menjadi pertikaian para peminat terutama membabitkan penyerang baharu, Yusuke Minagawa yang kurang menyakinkan.
Penyerang itu setakat ini telah pun merekodkan satu gol ketika berdepan Melaka, tetapi impak beliau secara keseluruhan dianggap kurang menyakinkan untuk bergelar peledak utama Negeri Sembilan.
Sejak aksi-aksi lalu, nama Yusuke antara paling popular disebut penyokong di media sosial dan ada menganggap beliau layak diletakkan terlebih dahulu di bangku simpanan.
Malah, ada peminat menyarankan supaya Yusuke menjual ayam gunting sahaja daripada mewakili Negeri Sembilan selaku penyerang import musim ini.
Takumi Sasaki ditagih
Tidak dinafikan, tanpa Takumi yang masih dihantui kecederaan, impak permainan Negeri Sembilan terutama daripada segi ketajaman dan kreativiti cukup dirasai.
Jeneral utama Hoben Jang Hoben itu masih lagi belum mencipta penampilan musim ini ekoran dihimpit dengan masalah kecederaan dan ia merencatkan prestasi permainan kelab tersebut.
Apapun, barisan kejurulatihan Negeri Sembilan perlu memikirkan solusi terbaik kini untuk mengimbangi ketiadaan bintang utama Jepun tersebut pada aksi mendatang jika beliau masih belum dapat beraksi.
Suka atau tidak, Negeri Sembilan perlu bangkit atau kepercayaan penyokong akan terus terhakis pada saingan musim 26/27 yang kecewa melihat prestasi mereka.






