Malaysia akhirnya berjaya memperoleh kemenangan mereka di pentas antarabangsa bagi aksi persahabatan Tier 1 bulan ini, menerusi kejayaan mereka menundukkan Yaman melalui keputusan 2-1.
Jika aksi lalu, kita kecewa dengan prestasi longlai skuad kebangsaan yang tunduk 0-2 di tangan China, kali ini situasi berbeza apabila Harimau Malaya kembali memperoleh kemenangan berharga.
Pada aksi tersebut, Tan telah membuat beberapa rombakan besar dalam kesebelasan utama, termasuk meletakkan Richard Chin dan Haziq Kutty yang cemerlang pada aksi terdahulu ketika bertemu China.
Hasilnya, kita berjaya melihat Chin membuka akaun jaringan pertama beliau buat Malaysia dalam karier seawal minit ke-7 menerusi ketenangannya membuat rembatan berkualiti tinggi.
Tidak cukup itu, Chin meneruskan hari cemerlang beliau menerusi gol kedua perlawanan yang memastikan Malaysia meraih kemenanga tipis 2-1 ke atas Yaman dengan kualiti permainan lebih memberansangkan.
Walaupun begitu, kemenangan tersebut bukanlah hadir dengan reputasi menyakinkan sehingga beberapa kritikan turut hadir dalam kalangan penyokong pada perlawanan berlangsung semalam.
Prestasi Ramadhan Saifullah dipertikai
Salah satu kritikan yang hadir pada aksi semalam terarah kepada prestasi Ramadhan pada aksi separuh masa pertama perlawanan semalam, dengan beliau dianggap kurang memberikan impak.
Jika kita imbas semula perlawanan semalam, posisi Ramadhan di bahagian kiri serangan negara jelas kurang menyakinkan, dengan banyak gerakan dibuat terarah pada bahagian kanan diketuai oleh Richard Chin.
Sekelompok penyokong di media sosial sendiri kurang berpuas hati dengan apa ditampilkan oleh Ramadhan, apabila beliau lebih banyak membuat hantaran ke belakang dan tidak selincah selalu untuk memasuki petak penalti lawan dari bahagia sisi.
Selain itu, beberapa luahan tidak puas hati turut diutarakan penyokong pasukan kebangsaan kepada Romel Morales yang kerap melepaskan peluang terbaik menambah jaringan.
Malah, Romel sendiri dianggap ‘berat’ pada aksi tersebut dan kurang memberikan impak buat siri serangan negara menerusi percubaan-percubaan lebih berkualiti.
Tanpa Fergus Tierney yang dilayangkan kad merah pada perlawanan lalu, Tan tidak mempunyai banyak pilihan di posisi utama serangan dengan Morales dilihat calon paling sesuai mengisi kekosongan tersebut.
Pujian buat Tan
Apapun, pujian penuh tetap perlu diberikan kepada Tan yang berjaya memastikan Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong pada aksi antarabangsa Tier 1 kali ini di bumi China.
Dengan satu kemenangan diperoleh pada aksi semalam, ini membuktikan Tan masih lagi relevan sebenarnya selaku jurulatih utama kebangsaan walaupun dihimpit dengan krisis kehilangan ramai pemain utama.
Secara statistik, Tan kini sudah merekodkan 7 kemenangan daripada 12 perlawanan diharungi bersama Malaysia selaku jurulatih ‘interim’ di pentas antarabangsa.
Dengan pelbagai pemain sudah pun diuji beliau dalam beberapa kejohanan, ini merupakan sesuatu yang bagus jika kita nilai daripada segi keputusan perlawanan diperoleh menerusi sentuhan beliau.
Walaupun masih belum mengetahui status beliau pada masa hadapan, kita tidak boleh nafikan sumbangan Tan bersama Malaysia ketika ini cukup bagus dan perlu mendapat pujian di sebalik pelbagai cabaran melanda pengendali berkenaan.







