Hari ini, hanya beberapa jam sahaja lagi, Malaysia bakal menghadapi aksi kedua bagi siri perlawanan persahabatan Tier 1 di China, dengan aksi seterusnya mereka bakal berdepan cabaran Yaman dalam misi mendapatkan kemenangan pertama.
Imbas kembali aksi pertama lalu, Malaysia tampil dengan langkah kiri ketika berdepan pasukan tuan rumah, China menerusi kekalahan 0-2 yang mendapat pelbagai kritikan besar dalam kalangan pemerhati dan peminat bola sepak negara.
Pada aksi lalu, Tan Cheng Hoe selaku pengendali utama Harimau Malaya mencipta beberapa rombakan dalam kalangan pemain, sebelum ianya dilihat serba tidak menjadi terutama sekali pada babak separuh masa pertama perlawanan.
Antara faktor kekalahan negara juga terarah kepada eksperimen Tan yang melakukan gandingan baharu sesama pemain, dan mengubah posisi asal mereka sehingga, ia kelihatan canggung dan Harimau Malaya sukar menyesuaikan diri di atas padang ketika bertemu China di gelanggan lawan.
Walaupun begitu, harapan untuk kita bangkit berdepan Yaman pada hari ini masih lagi ada, selepas beberapa pemain yang dibawa turun pada separuh masa kedua perlawanan terdahulu tampil dengan cukup menyakinkan untuk menaikkan semula maruah Malaysia di pentas antarabangsa hari ini.
Kelibat Haziq Kutty ditagih
Sama seperti abang beliau, Haziq yang mencipta penampilan sulung bersama skuad senior kebangsaan tampak cukup dominan dan mendapat reaksi penyokong yang berpuas hati dengan persembahan bintang muda berkenaan, apabila beliau dipertaruhkan dalam babak separuh masa kedua perlawanan.
Dibawa masuk bagi menggantikan Rodney Celvin, Haziq diberi peranan selaku pemain tengah bertahan yang turut dominan dalam membantu serangan negara selain begitu aktif meningkatkan disiplin pertahanan Malaysia.
Malah, Haziq dilihat cukup matang dalam permainan, apabila beliau langsung tidak kekok menyesuaikan diri bersama barisan pemain senior lain di pentas antarabangsa bawah kendalian Tan untuk mendapat pujian dalam kalangan penyokong setia skuad Harimau Malaya pada aksi lalu bertemu skuad China.
Selain Haziq, kelibat Richard Chin juga antara yang cukup positif dalam meningkatkan intensiti serangan Harimau Malaya pada separuh masa kedua ketika beliau menggantikan khidmat Ubaidullah Shamsul, menerusi peranan beliau pada posisi sayap Harimau Malaya.
Chin sendiri antara pemain yang banyak menyumbang peluang gol pada aksi berkenaan, selain satu percubaan tepat berjaya direkodkan pemain lincah Ross County itu, walaupun dipertaruhkan dalam babak separuh masa kedua perlawanan.
Tan perlu lebih efektif
Bagi aksi hari ini, Tan perlu bijak dalam menentukan kesebelasan utama terbaik untuk bertemu Yaman, atau situasi serupa akan terus berlaku seperti perlawanan lalu kerana percaturan jurulatih berkenaan pada awalnya dilihat tidak menjadi.
Tanpa Fergus Tierney yang dilayangkan kad merah pada aksi lalu, sudah tentu beberapa perubahan bakal dibuat pengendali berkenaan, terutama pada gandingan para pemain di posisi serangan yang lebih bersesuaian.
Pemain senior berpengalaman seperti Paulo Josue antara muka yang mungkin bakal dipertaruhkan lebih awal, kerana kekuatan fizikal dan kualiti penyudah beliau di pentas antarabangsa ditagih buat kem kebangsaan.
Pada masa sama, posisi pertahanan yang kritikal ketika perlawanan lalu perlu dirombak semula, kerana ancaman Yaman juga tidak boleh dipandang mudah, kerana kebanyakan pemain serangan mereka berkualiti daripada segi fizikal dan kawalan bola.
Apapun, semoga skuad Harimau Malaya hari ini mencatat keputusan positif di bumi China, dalam misi kita untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia ke arah lebih baik selepas kita tewas terdahulu di tangan China.






