Hasrat Negeri Sembilan untuk mendapatkan kemenangan pada aksi sulung mereka di pentas Liga Super 26/27 tidak kesampaian, apabila mereka mencatat kekalahan 1-2 sebelum itu di tangan Melaka FC.
Dilabel sebagai salah satu pasukan tumpuan musim ini, Negeri Sembilan sebenarnya bermula dengan sangat baik, selepas mereka mendahului tuan rumah menerusi jaringan Yusuke Minagawa pada minit ke-20.
Namun, kelebihan tersebut tidak berpanjangan apabila Melaka bangkit di halaman sendiri untuk mengesahkan tiga mata pertama di halaman sendiri.
Salah satu faktor kekalahan Negeri Sembilan berlaku apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain sahaja selepas ada layangan kad merah dikeluarkan pengadil.
Tanpa seorang pemain, momentum pasukan tersebut mula menurun sehingga terpaksa menanggung kekalahan akibat jaringan lewat dilakar oleh Melaka pada minit akhir separuh masa kedua perlawanan.
Khuzaimi Piee dikritik
Di media sosial, rata-rata penyokong Negeri Sembilan meluahkan rasa tidak puas hati kepada kapten pasukan, Khuzaimi Piee yang dilayangkan kad merah pada awal separuh masa kedua.
Ini menjadikan Negeri Sembilan terpaksa beraksi tanpa pemain lengkap dengan lebih awal dan memberi ruang kepada Melaka untuk mencipta kebangkitan.
Kebanyakan penyokong tidak berpuas hati kerana sikap agresif Khuzaimi yang memberi beban kepada pasukan tersebut menerusi kad kuning awal perlawanan.
Malah, sikap tidak peka Khuzaimi yang meneruskan aksi agresif berlebihan juga menyaksikan beliau dilayangkan kad kuning kedua dan automatik juga kad merah diberikan kepada pemain berkenaan.
Selain emosi Khuzaimi yang tidak digemari penyokong, kualiti permainan beliau juga dianggap semakin menurun untuk diberi peluang dalam kesebelasan utama serta bergelar kapten pasukan.
Tak patut salahkan Khuzaimi sahaja
Jika diikutkan, aksi Negeri Sembilan semalam sebenarnya sudah cukup baik walaupun beraksi dengan 10 pemain, apabila mereka mampu mengimbangi pasukan lawan.
Walaupun begitu, ada beberapa kelemahan semasa yang masih perlu dilakukan oleh Daniel Gimenez untuk memastikan pasukan itu kembali berada di landasan terbaik mendapatkan tiga mata.
Teguran juga turut diberikan penyokong kepada Jovan Motika yang tampak beberapa kali melepaskan peluang terbaik untuk membuka peluang gol lebih cerah kepada Negeri Sembilan.
Hoben Jang Hoben juga sebenarnya tampil dengan sedikit tempang selepas tonggak utama mereka, Takumi Sasaki tidak dapat dipertaruhkan kerana kecederaan dialami sebelum perlawanan.
Apapun, Negeri Sembilan perlu mengambil iktibar dan tidak meletakkan kesalahan penuh kepada Khuzaimi sahaja atas kekalahan yang dialami.





