Pemain Indonesia Buat ‘Onar’ Di Belanda
Disebabkan dia seorang, habis pemain-pemain lain turut terpalit dengan masalah yang sama dan merugikan kelab.
Baru-baru ini, dunia bola sepak di Belanda menjadi sebutan ramai penyokong bola sepak Indonesia ekoran salah seorang pemain mereka, dilaporkan beraksi secara tidak sah.
James Dean yang merupakan pemain warisan terbaharu Sang Garuda sebelum ini memilih kerakyatan selaku warganegara Indonesia, dan telah pun mencipta penampilan buat pasukan kebangsaan berkenaan.
Apa yang berlaku?
Isu mula menjadi panas, apabila beliau terlibat dengan isu ‘paspoortgate’ yang telah memberi kesan besar buat kebanyakan kelab yang bermain di kejohanan rasmi Belanda.
Semua ini berlaku, apabila pengurusan kelab NAC Breda di saingan Eredivisie membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB) terhadap pemain lawan, Go Ahead Eagles, James Dean.
Aduan dilakukan selepas mereka menyedari James sebenarnya telah mempunyai kerakyatan Indonesia dan secara langsung beliau kehilangan hak kewarganegaraan Belanda.
James pula, berasi bersama Go Ahead Eagles sehingga kini dengan masih membawa status selaku warganegara Belanda dan itu menyebabkan adua telah dibuat.
Untuk info, Belanda tidak mengamalkan dua kerakyatan serentak, dan mereka hanya perlu memilih satu sahaja. Sementara James, beliau secara rasminya telah menukar kewarganegaraan asal kepada Indonesia.
Ini bermakna, jika anda memilih warganegara selain Belanda, status kerakyatan tersebut secara automatik juga telah dibatalkan.
Apa kesannya?
Kesannya kini, James dianggap selaku pemain luar dan memerlukan permit kerja untuk terus beraksi di saingan Eredivisie selain visa yang mendapat pengesahan rasmi.
Masalahnya kini, James dan pihak pengurusan gagal menyediakan dokumen yang lengkap serta dipercayai untuk menyakinkan KNVB demi terus beraksi bersama kelab.
Selain James, 25 lagi pemain lain turut dikesan melakukan perkara serupa dengan ia turut melibatkan pasukan wanita menerusi kontroversi ‘paspoortgate’.
Antara nama besar lain terlibat terarah kepada tonggak NEC Nijmegen, Tjaronn Chery yang sebelum ini juga telah menukarkan kerakyatan beliau untuk menjadi warganegara Suriname.
Pemain Indonesia lain terlibat, terarah kepada Nathan Tjoe-A-On yang bermain untuk Willem II untuk saingan divisyen kedua Belanda, apabila beliau turut terlibat dengan perkar serupa.
Apa KNVB buat?
Hasil siasatan dibuat, menyaksikan mana-mana pemain yang masih diragui status mereka tidak dibenarkan beraksi atau berlatih bersama kelab masing-masing.
Lebih perit, KNVB sendiri belum menentukan masa sebenar pemain-pemain digantung ini dibenarkan semula untuk menyertai kelab masing-masing.
Setakat ini, NEC Nijmegen, FC Emmen, Go Ahead Eagles, dan Heracles Armelo menjadi antara kelab yang sudah pun patuh akan arahan dikeluarkan oleh KNVB.
Persoalan kini juga mula timbul, jika KNVB sendiri akan mengambil tindakan lebih tegas pada masa hadapan atau FIFA sendiri bakal campur tangan untuk menyelesaikan isu berkenaan.





