Peluang Selangor Kembali Bangkit Di Pentas Asia
Selangor bakal menghadapi cabaran wakil kelah dari Vietnam, Cong An Ha Noi hari ini bagi saingan ACC Shopee Cup 25/26.
Daripada segi prestasi mereka di saingan tersebut sebelum ini, The Red Giants masih belum mencatat sebarang kekalahan setelah mengharungi 3 perlawanan peringkat Kumpulan A.
Ketika ini, mereka berada pada kedudukan kedua daripada enam pasukan di kumpulan tersebut dengan lima mata telah terkumpul dan hanya dibezakan dua mata sahaja berbanding Tampines Rovers (Singapura).
Untuk aksi hari ini, skuad kendalian Kim Pan-gon wajib mencatat kemenangan dan tidak boleh sesekali keciciran sebarang mata jika mereka ingin cuba meminta Tampines Rovers, atau sekurangnya terus mengukuhkan diri di tangga kedua.
Cong An Ha Noi yang berada di tangga keempat kini juga hanya dibezakan satu mata sahaja berbanding Selangor, dan mereka berpeluang untuk memintas The Red Giants, andai kemenangan diperolehi.
Daripada segi momentum semasa, mungkin skuad kendalian Kim mempunyai peluang untuk mencatat keputusan positif, kerana Cong An Ha Noi sudah lama tidak mengharungi aksi kompetitif.
Kali terakhir kelab dari Vietnam itu menghadapi aksi kompetitif pada 18 Disember lalu, sebelum tirai saingan V-League berehat seketika untuk memberi laluan kepada saingan Piala Asia B-23 serta Sukan SEA.
Ini bermakna, Selangor tampil lebih bersedia selepas mereka mengharungi beberapa perlawanan rasmi lalu serta mencatat keputusan positif untuk diteruskan lagi pada aksi berkenaan.
Daripada segi persiapan pemain, beberapa perubahan juga sudah dibuat dengan kemasukan muka-muka baharu yang dijangka bakal memainkan peranan penting untuk The Red Giants.
Malah, prestasi Chrigor Moraes sendiri kini berada pada tahap cukup menyakinkan untuk menjadi penggempur utama Selangor bagi merobek gawang lawan.
Catatan semasa menyaksikan penyerang dari Brazil itu sudah meledak 28 gol, serta 8 โassistโ daripada 31 perlawanan diharungi bersama pasukan dari Malaysia tersebut.
Malah, Moraes juga konsisten menyumbang tiga jaringan daripada tiga perlawanan beliau pada musim ini di pentas ACC Shopee Cup untuk memberi petanda cukup positif.
Pada masa sama, reputasi Faisal Halim sendiri berada pada tahap terbaik untuk dipertaruhkan pada perlawanan hari ini di laman sendiri, MBPJ.
Walaupun begitu, lawan juga pastinya sedang membuat persiapan rapi dengan beberapa pemain mereka wajar diberi perhatian penuh untuk mengelak sebarang kejutan tidak diingini berlaku.
Nguyen Quang Hai antara yang perlu diberi tumpuan penuh, ekoran kualiti gelecekan, kreativiti, dan ketajaman beliau mampu menjadikan siri serangan Cong An Ha Noi begitu berbahaya.
Selebihnya, terserah kepada Kim sendiri bagaimana percaturan taktikal bakal diterjemahkan bersama Selangor pada aksi hari ini di hadapan ribuan penyokong kesayangan The Red Giants.
Pandangan anda?







