Saingan musim 2026-2027 baharu saja bermula dalam beberapa perlawanan, tetapi pelbagai cerita sudah pun kedengaran baik daripada sisi positif atau negatif bagi setiap kelab-kelab bertanding.
Di England, Manchester United antara yang hadir dengan cerita tersendiri terutamanya bawah kendalian pengendali baharu mereka yang sebelum ini memegang jawatan interim, Michael Carrick.
Walaupun baru mengharungi beberapa sahaja perlawanan, nama pengendali tersebut mula menjadi sebutan ramai penyokong di media sosial, terutama keputusan dihasilkan kelab tersebut di pentas EPL.
Segala perbincangan hangat di media sosial mula tercetus, apabila pasukan berkenaan merekodkan kekalahan tipis 0-1 sebelum itu di pentas English Premier League (EPL) kepada Manchester City.
Kekalahan itu menjadikan Man United kehilangan tiga mata penting, walaupun mereka mempunyai pelbagai kelebihan pada perlawanan tersebut jika dibandingkan kelab kendalian Enzo Maresca.
Apa yang berlaku?
Imbas kembali pada perlawanan tersebut, Man United sebenarnya hadir dengan momentum cukup positif untuk memberi persaingan atau menjadi pilihan utama meraih tiga mata penting, kerana mereka beraksi di halaman sendiri, Old Trafford.
Apatah lagi Man United berjaya merekodkan kemenangan musim lalu di halaman sendiri ketika berdepan Man City yang menjadikan para penyokong optimis, rekod tersebut mampu diulangi sekali lagi kerana masih ditunjangi pengendali sama, Carrick.
Dengan tonggak Man City, Phil Foden yang dilayangkan kad merah pada pertengahan separuh masa pertama, Man United gagal menggunakan kelebihan tersebut sehingga pasukan berkenaan mencatat kekalahan 0-1 di tangan pelawat.
Kualiti permainan tak konsisten
Ini merupakan kekalahan kali kedua yang terpaksa ditelan The Red Devils musim ini di pentas EPL selepas mereka telah mengharungi empat perlawanan, yang menjadikan pasukan berkenaan masih belum konsisten.
Antara kelemahan semasa Man United, tentunya terarah kepada kreativiti mereka dalam merangkai serangan, kerana kebergantungan kelab tersebut kepada Bruno Fernandes cukup tinggi dalam setiap aksi diharungi.
Malah kelemahan ketara Man United pada aksi tersebut terarah kepada disiplin pertahanan mereka yang cukup longgar untuk menyaingi kelincahan serangan pasukan pelawat sepanjang aksi berlangsung.
Kritikan buat Carrick
Di media sosial ada yang menyifatkan Carrick masih lagi gemar melakukan eksperimen dalam pasukan kendaliannya, sehingga ia kadangkala memakan diri dengan keputusan di luar jangkaan.
Pemain seperti Benjamin Sesko antara yang ditagih penyokong supaya beliau diletakkan semula dalam kesebelasan utama, kerana fokus penting Man United adalah untuk mendapatkan gol dan mencatat kemenangan.
Pada masa sama, ada juga sindiran yang menyatakan Carrick mungkin patut kekal sebagai interim sahaja kerana prestasinya lebih cemerlang seperti pernah dihadapi pengurus-pengurus sementara Man United terdahulu.
Beri masa buat Carrick
Walaupun begitu, masih ada yang mempertahankan Carrick kerana segalanya masih awal, dan beliau masih membina empayar tersendiri mengikut acuannya selepas menggantikan era Ruben Amorim.
Dengan segalanya masih lagi baharu, Carrick masih mempunyai ruang untuk mendapatkan skuad lebih konsisten menerusi persiapan dilakukan beliau kini baik di pentas domestik atau kejohanan UEFA Champions League (UCL).
Malah, kebanyakan pasukan kini masih lagi sedang berada dalam tempoh penyesuaian diri dan mencari konsistensi dalam permainan, seperti dihadapi oleh Man United.





