Paraguay Kebal Undang-Undang FIFA
Main macam Shaolin Soccer pun boleh, bukannya mereka nak kena kad kuning atau merah.
Saingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 tampaknya semakin panas, terutama sekali membabitkan aksi yang berlangsung pagi tadi antara pertemuan Perancis dan Paraguay.
Pada aksi tersebut, kita tak disajikan dengan perlawanan yang sengit seperti dipamerkan oleh Argentina dan Cabo Verde, sebaliknya ia berkisarkan kepada drama di atas padang.
Sepanjang aksi berlangsung, Paraguay dilihat begitu agresif di atas padang dengan pelbagai kekasaran dibuat serta provokasi melampau kepada Kylian Mbappe serta rakan-rakan.
Malah, beberapa kali situasi juga menyaksikan pertelingkahan kecil berlaku sesama kedua pasukan tersebut yang memaksa pengadil bertugas lebih banyak campur tangan untuk menghentikannya.
Walaupun begitu, Perancis berjaya menamatkan aksi itu selaku pemenang dan melangkah ke pentas suku akhir, apabila Mbappe tenang menyudahkan penalti untuk memberi kelebihan kepada mereka.
Undang-undang tak lut buat Paraguay
Itu yang kami mungkin boleh simpulkan kepada negara tersebut, selepas melihat kepada apa dilakukan mereka sepanjang perlawanan berlangsung sehingga menuju ke wisel penamat.
Bayangkan, 13 kekasaran telah dibuat oleh skuad kendalian Gustavo Alfaro jika dibandingkan dengan Perancis yang hanya melakukan 11 ‘foul’, tetapi tiada satu layangan kad diberikan kepada Paraguay.
Beberapa kekasaran yang nyata turut dikesan pengadil dilakukan oleh pemain Paraguay seperti terjahan-terjahan keras, namun tiada layangan kad kuning atau merah diberikan kepada negara tersebut.
Sebaliknya, Perancis pula mendapat tiga kad kuning kepada Michael Olise, Bradley Barcola, serta Manu Kone’ yang pada akhirnya mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.
Malah pertikaian dan rasa tidak puas hati turut dilontarkan oleh pemain sendiri kepada keputusan pengadil yang dianggap berat sebelah pada aksi berkenaan.
Tujuan jelas Paraguay
Jika dinilai pada aksi berkenaan, jelas Paraguay tak hadir untuk mendapatkan gol menerusi situasi terbuka dan mereka menyedari keupayaan dimiliki oleh Perancis.
Dengan lebih banyak pemain memadatkan kawasan sendiri dan cuma sesekali mereka melancarkan siri serangan balas pantas, ada kemungkinan juga Paraguay cuba mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.
Malah perang psikologi juga dilancarkan kepada kem Perancis pada awalnya, dengan harapan lawan termakan umpan dan memudahkan peluang Paraguay untuk mendominasi kelemahan tersebut.
Apapun, satu sepakan penalti sahaja daripada Mbappe hasil kesilapan lawan sendiri berjaya memastikan Perancis pada akhirnya memperoleh kemenangan berharga untuk menjadi negara kedua ke pusingan 8 terbaik.
Untuk Paraguay, pendekatan anda mungkin hampir berjaya, cuma pertikaian diberikan kepada segala tindakan mereka yang seolah kebal daripada undang-undang dicipta.






