Pahang Rangers Sasar Tumbangkan JDT Di Johor
Dengan sedikit sahaja perubahan dibuat, pasukan tersebut ada cita-cita tinggi pada minggu pembukaan MPFL.
Saingan Malaysia Premier Futsal League akan membuka tirai esok dengan Pahang Rangers terus menjadi antara pasukan tumpuan ramai penyokong.
Dengan membawa reputasi yang tinggi, kelab berkenaan mengakui meletakkan sasaran sempurna bagi menghadapi dua aksi bakal berlangsung di Johor esok.
Bagi dua aksi permulaan, skuad kendalian Eloy Alonso Fraile bakal menghadapi cabaran ATM terlebih dahulu pada hari esok sebelum membuat perhitungan bersama JDT pada lusa seterusnya.
Misi 6 mata Pahang Rangers
“6 mata, itu misi jelas kami di Johor. Bermula dengan langkah kanan di Sirkit 1 sangat kritikal unruk membina momentum dan meletakkan Pahang Rangers di landasan yang betul sejak hari pertama.
“Tidak seperti musim sebelumnya, kali ini kita akan bermain dua hari berturut-turut,” jelas pengendali berpengalaman tersebut mengenai sasarannya.
Pada masa sama, Alonso turut mengakui dua aksi esok dan lusa menuntut komitmen yang sangat tinggi kerana mereka bakal menghadapi jadual padat bersama aksi intensiti tinggi.
Untuk itu, beliau menyeru kepada pasukan untuk memberi fokus dalam setiap aksi diharungi dan dapatkan prestasi terbaik daripada pemain.
Tiada rombakan besar dibuat
Bagi aksi musim ini, Pahang Rangers hanya menandatangani dua muka baharu sahaja dengan tiada rombakan besar dibuat dalam kalangan pemain.
Syarifuddin Md Akhir dari Kedah dan tonggak import Brazil, Rodrigo Galvao da Silva menjadi muka baharu ditandatangani kelab tersebut musim ini selain gandingan senior dan bakat muda turut dipertaruhkan.
Lebih menarik, mereka berjaya mengekalkan penyerang berbisa, Felipe de Souza yang kini memegang status selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan tersebut.
Pahang Rangers dan mentaliti kemenangan
“Kami sedang memulakan projek masa depan yang mengujakan dengan kumpulan pemain muda, disokong oleh beberapa pemain senior yang bekerja keras membantu perkembangan mereka, serta dua pemain Brazil yang hebat.
“Pemain-pemain telah menunjukkan peningkatan sangat baik dalam tempoh dua bulan ini. Saya sangat kagum dengan beberapa pemain yang membuktikan keinginan tinggi untuk bersaing di tahap terringgi. Sikap mereka sangat luar biasa.
“Saya mahukan sebuah pasukan dengan ‘winning mentality’ yang berani berdepan dengan mana-mana lawan sekali pun.
“Pasukan yang terus berkembang dari satu perlawanan ke satu perlawanan, dengan pemain yang memberikan segalanya untuk pasukan, untuk Pahang, dan untuk rakan sepasukan mereka,” kata Alonso lagi.
Pahang Rangers peroleh pengangkutan kelas pertama
Musim ini juga menyaksikan Pahang Rangers turut menandatangani MOU bersama Sanwa Tours dan Physio Hero untuk pengangkutan dan fisioterapi pasukan.
Sanwa dilaporkan bakal menjadi rakan logistik rasmi dengan menyediakan pengangkutan berkelas tinggi bagi kegunaan utama kelab.
Manakala, Physio Hero memastikan setiap pemain Pahang Rangers mendapat akses untuk rawatan fisioterapi profesional.





