Orang Malaysia Tak Reti Main Bola Sepak
Adakah kita semua perlu menerima hakikat, yang akhirnya bola sepak di Malaysia hanya sebuah pembaziran semata-mata?
Baru-baru ini,penulis ilmiah terkenal dan Ahli Fizik Malaysia, Dr Zamir Mohyedin tampil dengan suatu kenyataan cukup keras di media sosial mengenai bola sepak Malaysia.
Menurut beliau, semua peminat perlu menerima hakikat jika tiada mana-mana anak Malaysia kini tahu bermain bola sepak dan menganggap sukan tersebut sebagai suatu pembaziran.
“Kena terima hakikat orang Malaysia tak reti main bola. Sukan yg membazir duit, bawak balik piala pun tidak, banyak skandal pulak tu,” ujar beliau di media sosial X.
Isu anak jati dalam bola sepak
Perbahasan ini timbul selepas ada peminat sebelum itu meluahkan rasa tidak puas hati kepada skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kononnya mengabaikan tenaga tempatan.
Isu ini mula berlaku apabila JDT telah menyenaraikan pemain warisan dan import sahaja ketika aksi terakhir AFC Champions League Elite (ACLE) peringkat kumpulan ketika mereka berdepan Vissel Kobe.
Tanpa pemain tempatan, keputusan positif menjadi milik wakil Malaysia tersebut apabila JDT melakar kemenangan 1-0 di halaman sendiri untuk mengetepikan cabaran kelab dari Jepun tersebut.
Dakwaan Dr Zamir ada asasnya
Jika kita nilai semula pandangan Dr Zamir, segalanya berasas apabila pembaziran dalam sukan bola sepak di Malaysia ini sangat tinggi jika kita lihat pada pencapaian trofi atau peningkatan prestasi secara konsisten.
Malaysia sendiri sudah lama tidak merasai sebarang trofi di pentas antarabangsa dan pembangunan sejak akar umbi yang diusahakan juga masih perlahan untuk memenuhi piawaian terbaik.
Sebaliknya, Harimau Selatan yang lebih banyak melakukan proses lebih baik dari pentas akar umbi serta terus konsisten menjadi wakil tunggal negara di pentas elit Asia untuk mencabar negara-negara besar.
Pandangan Dr Zamir ditepis
Walaupun begitu, masih ramai menepis pandangan beliau dengan menyatakan masa depan bola sepak Malaysia masih mampu diselamatkan jika kena pada caranya.
Antara yang perlu diperbetulkan kembali pastinya pada struktur pembangunan akar umbi dengan mencipta laluan terbaik buat bakat muda tempatan berkembang sehingga ke peringkat senior.
Isu ‘kabel’ juga antara yang dilontarkan oleh sesetengah peminat, dengan perkara tersebut juga menjadi faktor mengapa ramai pemain-pemain berbakat Malaysia gagal mendapat tempat.
Bola sepak Malaysia mampu diselamatkan
Isu anak jati ini sebenarnya mampu diselamatkan pada masa hadapan dan sukan bola sepak Malaysia sendiri masih mempunyai harapan jika proses pembentukan dari awal dilakukan dengan baik.
Arif Aiman Hanapi, Ahmad Syihan Hazmi, Faisal Halim, dan Luqman Hakim Shamsudin menjadi bukti harapan itu masih ada, cuma kita memerlukan dengan kadar kuantiti lebih tinggi.
Tetapi, jika pemain Malaysia dan proses itu sendiri masih di takuk lama pada masa akan datang, rasanya sukar untuk kita menepis apa telah dikatakan sendiri oleh Dr Zamir.








