Ong Kim Swee Perlukan Masa
Bola sepak moden tidak lagi ditentukan oleh bakat semata‑mata. Ia ditentukan oleh struktur, metodologi, dan keupayaan sesebuah sistem untuk membangunkan pemain secara konsisten.
Artikel ini ditulis oleh Muhammad Iddin yang juga merupakan jurulatih bola sepak akar umbi. Anda boleh follow beliau menerusi media sosial Facebook, Perdana United miliknya.
Negara yang berjaya dalam bola sepak bukan kerana mereka mempunyai lebih ramai pemain berbakat, tetapi kerana mereka mempunyai kerangka pembangunan yang jelas.
Malaysia tidak kekurangan bakat. Malaysia kekurangan kesinambungan dalam pembangunan.
Masalah utama bukan pada pemain muda, tetapi pada cara mereka dibentuk. Tanpa falsafah latihan yang konsisten, tanpa penyelarasan metodologi jurulatih, dan tanpa laluan pembangunan yang jelas, maka bakat akan berkembang secara rawak, bukan secara sistematik.
Dalam konteks inilah peranan Datuk Ong Kim Swee menjadi signifikan.
Ong Kim Swee pada mata seorang jurulatih muda tempatan
Saya mengenali Kim Swee sejak kecil, ketika saya terlibat dalam program Soccer Kids U12. Pengalaman tersebut memberi saya pendedahan awal tentang perbezaan antara latihan yang bersifat rutin dan latihan yang berasaskan falsafah.
Kim Swee bukan jurulatih yang mengajar pemain apa yang perlu dibuat, tetapi mendidik mereka mengapa sesuatu perlu dilakukan.
Pendekatan beliau bersifat struktural. Setiap sesi latihan dibina dengan objektif yang jelas. Setiap modul latihan mempunyai progresi. Setiap pemain dibimbing untuk memahami hubungan antara teknik, taktikal, dan keputusan permainan.
Di sinilah terletaknya nilai intelektual seorang jurulatih
Perjalanan Ong Kim Swee bersama skuad Malaysia B‑19 dan Malaysia B‑23 membuktikan bahawa beliau bukan sekadar jurulatih pertandingan, tetapi jurulatih pembangunan.
Pasukan kendaliannya menunjukkan ciri‑ciri pasukan yang dibina melalui sistem, bukan kebetulan. Organisasi permainan mereka konsisten, transisi jelas, dan disiplin taktikal menjadi identiti utama.
Lebih penting, ramai pemain yang lahir daripada sistem kendalian beliau berjaya menyesuaikan diri di peringkat yang lebih tinggi. Ini menunjukkan pendekatan beliau bukan hanya menghasilkan prestasi jangka pendek, tetapi membina kapasiti pemain untuk berkembang.
Pelantikan beliau sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) membawa ruang untuk reformasi yang lebih mendalam dalam pembangunan bola sepak Malaysia.
Peranan ini menuntut lebih daripada kebolehan melatih pasukan. Ia memerlukan keupayaan untuk merangka falsafah permainan, membina kurikulum latihan, menyelaraskan metodologi jurulatih, serta memastikan kesinambungan pembangunan pemain dari peringkat akar umbi hingga elit.
Ia merupakan satu pendekatan yang jelas dalam barisan kejurulatihan AMD 2026 yang dipimpin beliau secara strategik.
Dalam bahasa teknikal, Ong Kim Swee kini berada pada tahap “architect of development”.
Cabaran terbesar beliau bukan sekadar pada penekanan taktikal, tetapi pada struktur.
•Bagaimana cara Kim Swee memastikan setiap jurulatih bercakap ‘bahasa bola sepak’ yang sama.
•Bagaimana beliau memastikan setiap pemain melalui laluan pembangunan yang konsisten.
•Bagaimana untuk memastikan setiap keputusan pembangunan tidak dipengaruhi oleh tekanan jangka pendek.
Gerak kerja intelektual Ong Kim Swee
Barisan ketua jurulatih di AMD dibarisi oleh mereka yang mempunyai pengalaman, kepakaran teknikal dan profil pembangunan.
Kini semuanya di bawah satu kerangka metodologi yang telah diselaraskan dengan senarai nama berikut:
•AMD B‑13: Ketua Jurulatih – Hassan Sazali Waras
•AMD B‑14: Ketua Jurulatih – Rusdi Suparman
•AMD B‑15: Ketua Jurulatih – P. Maniam
•AMD B‑16: Ketua Jurulatih – Shukor Adan
•AMD B‑17: Ketua Jurulatih – Noor Zaidi Rohmat
Hassan Sazali Waras sendiri merupakan pengendali yang sudah lama terlibat dalam pembangunan remaja buat skuad kebangsaan.
Manakala, Rusdi Suparman pula bekas pemain profesional yang mempunyai pengalaman teknikal cukup baik untuk peringkat pembangunan pemain.
Terarah kepada Shukor Adan pula, beliau merupakan bekas tonggak kebangsaan yang kini giat mencurahkan ilmu serta pengalaman profesional ke peringkat pembangunan.
Semua barisan kejurulatihan ini berada bawah satu prinsip yang sering ditegaskan oleh Kim Swee sebagai proses pembangunan jangka masa panjang yang mempunyai kesinambungan dalam pembelajaran pemain.
Ong Kim Swee sebagai ‘role model’
Sebagai seseorang yang pernah melalui sistem latihan beliau, saya melihat kekuatan Kim Swee terletak pada keupayaannya menggabungkan disiplin dengan kefahaman. Beliau tidak membentuk pemain yang patuh semata‑mata, tetapi mereka yang berfikir.
Hari ini, sebagai jurulatih akar umbi, saya semakin memahami relevan pendekatan tersebut. Saya kini mengendalikan Perdana United FC, sebuah kelab pembangunan yang aktif di Johor dan Selangor, dan dalam perancangan untuk berkembang ke Pahang.
Dalam usaha membina pemain muda, saya sedar tanpa struktur dan metodologi, pembangunan hanya akan menjadi aktiviti, bukan proses.
Sebab itu, apabila kita bercakap tentang masa depan bola sepak Malaysia, kita perlu mengubah cara kita menilai. Kita tidak boleh terus menilai pembangunan melalui keputusan jangka pendek. Kita perlu menilai melalui kualiti sistem yang sedang dibina.
Ong Kim Swee telah membuktikan dirinya sebagai jurulatih pembangunan dan sebagai arkitek sistem. Kini, beliau diberi mandat untuk membina kerangka masa depan bola sepak Malaysia.
Jika kita benar‑benar serius tentang reformasi pembangunan pemain, maka kita perlu memberi ruang kepada individu yang memahami kompleksiti proses ini.
Beri Ong Kim Swee masa.
Kerana dalam bola sepak, kejayaan bukan lahir daripada reaksi spontan, tetapi daripada sistem yang dibina secara rasional, konsisten, dan berfalsafah.









