No.10 Selangor Jadi Bahan ‘Makian’ Penyokong
Bajet tahunan tinggi, tapi kualiti permainan dalam kalangan pemain boleh dianggap masih amatur.
Ini mungkin satu lagi musim yang cukup mengecewakan buat Selangor, selepas pasukan tersebut sah tersingkir untuk ke pentas final dalam satu lagi saingan domestik 25/26.
Semalam, Selangor secara rasminya mencatat kekalahan 0-1 dan 1-2 secara agregat di tangan Kuching City di pentas separuh akhir Piala Malaysia bagi edisi musim ini.
Kekalahan tersebut menyaksikan Selangor sekali lagi terkandas untuk ke pentas final saingan domestik, setelah sebelum itu episod sama berlaku bagi kejohanan Piala FA 25/26.
Jika diikutkan, Selangor sebenarnya antara pasukan pilihan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini untuk sekurangnya meraih satu trofi atau ke pentas akhir mana-mana kejohanan jika dibandingkan kelab lain.
Namun, seperti musim-musim lalu, Selangor sekadar gah daripada segi publisiti dan episod kegagalan terus menghantui mereka dalam mana-mana kejohanan disertai.
Apa masalah Selangor?
Masalah utama Selangor pada musim ini terarah kepada kualiti beberapa pemain yang dianggap kurang menyakinkan untuk mewakili kelab tersebut di pentas domestik atau kejohanan Asia.
Nama pemain seperti Mukhairi Ajmal, Fazly Mazlan, dan Aliff Haiqal antara yang sering menjadi pertikaian peminat dan dianggap sudah tidak signifikan untuk bersama The Red Giants.
Mukhairi Ajmal beban
Sebagai contoh aksi semalam, nama Mukhairi Ajmal menjadi antara yang kerap dikritik peminat di media sosial kerana impak diberikan pemain tersebut sangat teruk.
Memburukkan lagi keadaan, Mukhairi turut dilayangkan kad merah kerana kekasaran yang sangat keras dilakukannya pada separuh masa kedua tatkala kelab tersebut sebelum itu sudah pun kehilangan Safuwan Baharudin kerana isu serupa.
Disebabkan itu ramai penyokong Selangor dengan lantang di media sosial mahu Mukhairi disingkirkan pasukan itu pada musim hadapan dan rombakan lebih segar dalam kalangan pemain.
Variasi taktikal KPG
Pada masa sama, Kim Pan-gon yang bertindak selaku pengendali Selangor sendiri ditagih supaya mempelbagaikan lagi corak taktikal pasukan tersebut dan tidak terus statik dengan pendekatan serupa.
Dengan kedalaman skuad yang lebih baik berbanding kebanyakan pasukan lain, Kim mungkin boleh mencorakkan beberapa pendekatan taktikal permainan yang bersesuaian mengikut situasi lawan bakal dihadapi.
Malah, tidak salah untuk jurulatih Korea Selatan itu merehatkan seketika beberapa tonggak utama yang dianggap kurang menjadi atau mengalami penurunan prestasi seketika, sehingga mereka mampu bangkit kembali.
Selangor perlu berubah
Sehingga kini Selangor sudah terlepas untuk mendakap kejohanan Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super, Piala Malaysia, dan ACL 2 bagi musim 2025/2026 walaupun perubahan sudah dibuat pada awal saingan.
Pengurusan kelab perlu melakukan bedah siasat dengan lebih menyeluruh untuk menilai semula faktor kegagalan pasukan berkenaan sejak beberapa musim lalu walau mempunyai dana cukup besar.
Jika tidak, situasi sama akan berlaku dan tahap kepercayaan peminat sendiri untuk melihat proses Selangor dalam mengecapi kejuaraan akan menurun atas rasa kecewa.






