Nikmati Sahaja Final B-17 Asean Ini
Setelah sekian lama menanti, kita berpeluang untuk melihat skuad pembangunan negara merasai trofi kejuaraan Asean kembali!
Skuad kebangsaan bawah 16 (B-16) mungkin kurang diberi tumpuan pada awalnya ketika mereka menyertai kejohanan Asean B-17 yang berlangsung di Indonesia.
Tanpa pendedahan secara besar-besaran kepada peminat, mereka hadir ke Indonesia dalam misi untuk cuba membanggakan nama negara dalam sukan bola sepak.
Sepanjang berada di sana, kebanyakan penyokong sebenarnya tidak begitu memberikan tumpuan penuh atau menyatakan sokongan padu khas buat adik-adik ini dalan kejohanan tersebut.
Bermula dengan langkah kiri
Malah, para pemain muda ini juga bermula dengan langkah kiri pada perlawanan pertama mereka di peringkat kumpulan A apabila mereka mencatat kekalahan 0-4 di tangan Vietnam.
Pada aksi tersebut, jelas Malaysia seolah kehilangan punca untuk beraksi dengan baik selain menerima tekanan bertali arus daripada pasukan lawan, sehinga dibolosi empat kali.
Menerusi ruangan media sosial pula, para pemain muda negara mula dikritik dan dihentam oleh kebanyakan penyokong sendiri yang tidak yakin akan kemampuan Malaysia B-16 dalam kejohanan B-17 tersebut.
Bangkit kembali Malaysia
Tidak berputus asa, skuad pembangunan negara membuktikan keberadaan mereka bukan hanya untuk mengisi kuota pasukan dalam saingan tersebut sahaja, tetapi muncul selaku pesaing berbahaya.
Hasilnya, mereka membuktikan kepada penyokong menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tuan rumah, Indonesia dengan sangat menyakinkan.
Kejayaan itu diteruskan lagi pada aksi akhir Kumpulan A, apabila skuad kendalian Shukor Adan memperoleh kemenangan berharga 2-0 ke atas Timor Leste untuk ke pusingan separuh akhir.
Di pentas separuh akhir, Malaysia hadir dengan momentum ‘clean sheet’ untuk kali ketiga berturut-turut, dengan kali ini Laos diatasi melalui keputusan 3-0 untuk menyaksikan mereka layak ke final.
Pesanan Shukor Adan
Menurut Shukor, beliau mengakui barisan pemain Malaysia B-16 mempunyai mental yang cukup kuat di Indonesia walaupun dikecam hebat pada aksi pertama sewaktu menentang Vietnam.
Lebih membanggakan Shukor, ini adalah pasukan termuda Malaysia yang buat pertama kali melakar sejarah ke final saingan tersebut bagi menentang cabaran Vietnam.
“Saya cuma mahu memberitahu kepada pemain untuk menikmati saat ini, sebab mereka membuat sejarah selaku pasukan termuda untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir,” ujar Shukor.
Moga maju jaya Malaysia!
Kami di SB sendiri berdoa supaya barisan pemain-pemain muda ini meraih kejayaan dan mempelajari sesuatu yang baik untuk dijadikan pengajaran dan pengalaman pada saingan peringkat lebih tinggi selepas ini.
Beraksilah dengan sepenuh hati dan buktikan kepada penyokong di Malaysia yang anak-anak muda tempatan kita juga mampu memberi sumbangan besar dalam mengharumkan nama negara.
Lupakan kekalahan besar lalu, buktikan kepada Vietnam yang Malaysia kali ini jauh lebih bersedia untuk mengharungi satu lagi aksi yang mungkin akan memihak kepada kita.
Siapa tahu?





