Nidzam Jamil Jadi Mangsa Amukan Penyokong Negeri Sembilan
Ekoran kekalahan terbaharu dibelasah Selangor menerusi keputusan 1-5 baru ini, pengendali Negeri Sembilan, Nidzam Jamil teruk dikritik oleh para peminat.
Terdahulu, Negeri Sembilan gagal mencipta kebangkitan di MBPJ bagi aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2025/2026, selepas mereka akur dengan kekalahan 1-6 secara agregat.
Hanya dalam tempoh 45 minit pada aksi tersebut, skuad kendalian Nidzam Jamil telah pun ketinggalan dengan empat gol, bersama aksi ditampilkan juga cukup mengecewakan.
Rekod semasa Negeri Sembilan lemau
Sejak tujuh perlawanan terakhir diharungi skuad Hoben Jang Hoben, pasukan berkenaan hanya mampu mencatat satu kemenangan sahaja ketik aksi 16 terbaik Piala Malaysia bertemu Imigresen.
Selebihnya, mereka hanya merekodkan satu keputusan seri dan lima kekalahan bersama aksi cukup mengecewakan menerusi ketumpulan dan kerapuhan pertahanan.
Paling menyakitkan hati peminat, Negeri Sembilan hanya mampu merekodkan dua gol sahaja daripada tujuh perlawanan diharungi untuk menggambarkan betapa kritikal posisi serangan mereka.
Masalah semasa Negeri Sembilan
Seperti dilaporkan sebentar tadi, siri serangan Negeri Sembilan antara paling mencuri tumpuan kini, kerana ketumpulan mereka untuk menghasilkan gol.
Pemain tengah serangan seperti Takumi Sasaki sendiri gagal menampilkan kreativiti terbaik untuk meningkatkan peluang serangan berkualiti ke arah kubu lawan, selain tonggak penyerang, Joseph Esso dan Jovan Motika gagal menyerlah.
Pada masa sama, sudut pertahanan pasukan tersebut juga sangat membimbangkan. Sejak tujuh aksi lalu, Negeri Sembilan telah dibolosi sebanyak 10 gol walaupun dibarisi oleh beberapa pertahanan tempatan dan import.
Nilai permainan ditampilkan Negeri Sembilan sendiri kini gagal diterjemahkan dengan sangat baik, apabila isu persefahaman kadangkala masih menghantui mereka.
Entah kenapa, pasukan tersebut gagal mengekalkan momentum terbaik mereka seperti ditampilkan mereka pada awal musim daripada segi disiplin dan kualiti di posisi serangan.
Nidzam Jamil jadi mangsa amukan peminat
Puncak kepada prestasi semasa yang kurang memberansangkan, para peminat Negeri Sembilan meluahkan rasa marah mereka di media sosial dengan Nidzam menjadi keutamaan mereka.
Malah, ada yang mengharapkan supaya pengendali tersebut meninggalkan pasukan berkenaan musim ini dek kecewa dengan penyampaian beliau bersama Negeri Sembilan kini.
Kekecewaan itu terhasil kerana pada pandangan sesetengah penyokong, Nidzam Jamil seolah melakukan eksperimen taktikal dan senarai pemain dipertaruhkan pada perlawanan tersebut yang memakan diri.
Apapun, Nidzam Jamil dijangka akan terus kekal sehingga ke penghujung musim kerana pengurusan tertinggi terdahulu ada menyatakan tiada perubahan bakal dibuat untuk posisi kejurulatihan musim ini.
Nidzam sendiri tentunya sedar dengan prestasi semasa pasukan yang sangat mengecewakan dan sudah tentu ingin mengubahnya ke arah lebih baik pada baki musim 25/26.













