Neymar Rampas Hak Pemain Lain
Masih misteri kewujudan beliau di pentas Piala Dunia 2026 sehingga kini.
Brazil bakal mengharungi aksi kedua mereka bagi peringkat Kumpulan C pentas Piala Dunia 2026 hari esok dengan berdepan cabaran daripada Haiti.
Aksi lalu menyaksikan mereka sekadar terikat seri 1-1 ketika berdepan Maghribi dengan aksi ditampilkan cukup tidak menyakinkan daripada segenap sudut terutama di posisi serangan.
Bagi mencerahkan peluang mereka ke pusingan seterusnya, suka atau tidak skuad kendalian Carlo Ancelotti perlu mencipta kemenangan ke atas pasukan lawan.
Di media sosial, beberapa perkara menggusarkan peminat dengan salah satunya terarah kepada pemain Brazil yang masih lagi mengalami kecederaan Neymar.
Tidak dibawa turun kerana masih lagi dalam tempoh pemulihan daripada kecederaan pada aksi lalu, ramai mengharapkan supaya bintang serangan Brazil tersebut kembali cergas bagi perlawanan pagi esok.
Neymar masih bercuti
Namun harapan sekadar menjadi angan-angan, apabila Neymar dilaporkan masih lagi belum cergas sepenuhnya dan tidak boleh dipertaruhkan pada aksi menentang Haiti.
Menurut laporan, Ancelotti enggan mengambil risiko untuk mempertaruhkan Neymar dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan walaupun pemain berkenaan sudah pun turun dalam sesi latihan penuh.
Malah ada laporan juga turut menyatakan beliau tidak akan bersama pasukan tersebut secara rasmi ke stadium dan berada berdekatan para pemain lain seperti aksi lalu.
Ini secara tak langsung mencetuskan persoalan jika Ancelotti sebenarnya serius mahu menggunakan khidmat Neymar bagi saingan Piala Dunia ini atau tidak.
Malah ada dakwaan menganggap Neymar sepatutnya dibawa sekali untuk sekurangnya menaikkan motivasi rakan sepasukan lain jika tidak boleh beraksi.
Dianggap rampas hak pemain lain
Pada masa sama, kritikan keras terus diberikan oleh para penyokong dengan beliau sebenarnya dianggap ‘merampas’ hak pemain lain lebih layak untuk kuota pasukan ke Piala Dunia.
Umum mengetahui Brazil mempunya masalah pada aksi lalu di posisi serangan dengan Igor Thiago yang dipertaruhkan selaku peledak utama gagal memberikan impak berkesan.
Di bangku simpanan, tidak begitu banyak pilihan yang Ancelotti miliki untuk mengisi kekosongan tersebut dengan Neymar masih belum mendapat peluang dan kebanyakan lain lebih bertindak di posisi tengah serangan atau sayap.
Nama Joao Pedro terus dilaungkan penyokong kerana beliau sepatutnya dibawa menyertai kem Brazil untuk menambah kedalaman semasa skuad berkenaan.
Tetapi beliau tidak dipilih dan Neymar yang masih mengalami isu kecederaan serta kecergasan pula dibawa, dengan ramai percaya ini berlaku kerana hal ehwal politik atasan.
Jika masalah ketajaman masih lagi menjadi isu hari esok, maka Brazil perlu bersiap diri untuk menjadi mangsa kritikan penyokong yang dilihat sudah mula hilang sabar.





