Penyokong Terengganu tampaknya tidak berpuas hati dengan kekalahan sulung pasukan kesayangan mereka musim ini di pentas Liga Super 2026/2027.
Terdahulu, Sang Penyu terpaksa akur dengan kekalahan 0-3 kepada Selangor, walaupun pasukan berkenaan mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri.
Pada aksi tersebut, kedua pasukan pada awalnya tampak seimbang dalam menguasai permainan di separuh masa pertama dengan masing-masing mempunyai peluang tersendiri.
Walaupun begitu, situasi mula berubah di separuh masa kedua apabila Selangor nyata lebih berdisiplin dan begitu bijak memanipulasi kelemahan dipamerkan oleh pasukan tuan rumah.
Kekalahan ini menjadikan Terengganu terpaksa akur terlepas dalam mendapatkan sebarang mata penting, selepas cemerlang pada perlawanan pertama ketika mengetepikan Melaka FC.
Rahadiazli jadi amukan penyokong.
Di media sosial, kebanyakan penyokong Terengganu meluahkan kemarahan mereka kepada penjaga gol utama Sang Penyu, Rahadiazli Rahalim yang serba tidak menjadi.
Jika diikutkan, Terengganu sebenarnya hampir bolos beberapa gol di separuh masa pertama akibat tindakan cemerkap Rahadiazli yang lewat mengeluarkan bola dari kawasan penalti.
Malah, ada beberapa situasi juga menyaksikan Rahadiazli seolah gagal membentuk persefahaman lebih baik bersama pertahanan Terengganu yang menyaksikan ia cuba dieksploitasi lawan.
Kemuncaknya, Terengganu terpaksa menelan keputusan perit apabila gawang gol mereka dibolosi sebanyak tiga kali hanya di separuh masa kedua, dan memberi kemenangan kali kedua berturut-turut buat The Red Giants.
Di media sosial, pelbagai kritikan, makian, dan sindiran diberikan kepada Rahadiazli yang dianggap sebagai salah satu faktor utama kekalahan Sang Penyu kepada Selangor.
Malah, ada yang menyifatkan sikap lama Rahadiazli yang kerap membuat keputusan atau tindakan tidak tepat di hadapan gawang gol kembali berulang kini, dan mereka menuntut perubahan dibuat semula oleh Nafuzi Zain.
Bukan Rahadiazli sahaja bersalah
Jika diikutkan, kekalahan Terengganu ini hadir dengan pelbagai faktor dan tidak hanya bertumpukan kepada prestasi semasa penjaga gol tinggi lampai itu sahaja.
Benteng pertahanan antara yang perlu dibuat perubahan, selepas disiplin dan persefahaman sesama pemain dilihat masih lemah dan membuka peluang berbahaya beberapa kali kepada Selangor.
Malah, posisi tengah juga sangat longgar, kerana hampir setiap gerakan Selangor tampil di bahagian berkenaan sebelum ianya memberi ancaman lebih besar buat pertahanan Sang Penyu.
Kekalahan ini pastinya membuka mata Nafuzi untuk kembali menilai prestasi semasa pemain serta percaturan taktikal lebih baik, kerana perjalanan liga masih panjang untuk mereka harungi pada akan datang.






