Nama Jairo Diseru Untuk Aksi JDT & Vissel Kobe
Kelibat penyerang import JDT, Jairo da Silva antara yang menjadi bualan para peminat kini di media sosial.
Nampaknya, nama penyerang import Johor Darul Taβzim (JDT), Jairo da Silva kini terus menjadi bualan ramai, sebelum aksi pasukan tersebut berdepan cabaran seterusnya di pentas AFC Champions League Elite (ACLE).
Terdahulu, Harimau Selatan bakal berdepan pasukan jaguh dari Jepun, Vissel Kobe hari ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di mana, ia juga merupakan aksi terakhir JDT di peringkat kumpulan.
Aksi ini dianggap sangat penting kerana ia bakal menentukan jika Harimau Selatan mampu atau tidak untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya menerusi kutipan mata terakhir.
Cabaran Vissel Kobe
Jika dilihat daripada segi prestasi semasa pasukan lawan, Vissel Kobe hadir dengan rekod cukup baik pada saingan musim ini di pentas ACLE untuk berada di kedudukan pertama Kumpulan A.
Hanya satu kekalahan sahaja direkodkan pasukan tersebut ketika mereka tewas 3-4 di tangan Gangwon FC pada aksi ketiga peringkat kumpulan.
Selepas itu, mereka konsisten mengutip mata demi mata untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan serta telah mengesahkan diri ke pusingan seterusnya dengan lebih awal.
JDT masih ada peluang
Jika dilihat pada pada carta Kumpulan A, skuad kendalian Xisco Munoz masih lagi berpeluang untuk ke pusingan seterusnya jika mereka mampu melakar kemenangan dan mengharapkan Gangwon, Ulsan, dan Chengdu Rongcheng gagal mengutip sebarang mata pada aksi ini.
JDT juga tidak boleh keciciran mata menerusi kekalahan atau seri lagi, kerana kebergantungan mereka kepada keputusan semasa sangat tinggi, dan hanya kemenangan mampu melegakan kem Harimau Selatan buat sementara ia disahkan.
Apapun beraksi di halaman sendiri, pastinya suasana bakal tampil berbeza buat JDT untuk menampilkan aksi terbaik mereka kepada para penyokong kesayangan.
Jairo jadi tumpuan
Di media sosial, ramai mengharapkan supaya penyerang import JDT, Jairo tidak dipertaruhkan dalam kesebelasan utama dengan pemain lain ditagih mengisi kekosongan tersebut.
Ini kerana, segelintir penyokong seolah kecewa dengan prestasi semasa penyerang tersebut yang dianggap kurang menyerlah atau memberikan impak besar di posisi serangan Harimau Selatan.
Malah, ada turut mengharapkan Bergson da Silva kembali dipertaruhkan dalam kesebelasan utama kerana beliau dianggap lebih tajam dan bijak mengambil setiap peluang terhidang depan gawang gol.
Adakah Jairo begitu teruk?
Jika dilihat daripada segi statistik, Jairo antara penyerang yang konsisten menyumbang jaringan buat pasukan tersebut musim ini untuk semua kejohanan disertai JDT kini.
23 sumbangan jaringan telah direkodkan oleh Jairo untuk menyaksikan beliau sebenarnya cukup aktif dan seimbang daripada segi jumlah gol atau βassistβ.
Apapun, semuanya terarah kepada Xisco Munoz sendiri untuk menetapkan Jairo atau mana-mana pemain bersesuaian bagi aksi JDT hari ini berdepan cabaran Vissel Kobe.












