Mustahil Untuk Nam Dinh Menang Walau Di Laman Sendiri
Kelab dari Vietnam, Nam Dinh perlu menerima hakikat pedih pada aksi ACC Shopee Cup hari ini untuk berdepan cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT).
Selepas cemerlang mencatat semua kemenangan sejak empat perlawanan lalu di peringkat Kumpulan B, akhirnya cabaran sebenar bakal dirasai oleh skuad kendalian Mauri Jeronimo hari ini.
Bukan hendak menafikan keupayaan Nam Dinh, tetapi prestasi semasa JDT jauh lebih unggul dan ini mungkin akan jadi kekalahan pertama mereka di pentas ACC Shopee Cup.
Jika kita lihat pada kedudukan semasa Kumpulan B, pasukan dari Vietnam itu gah dengan 12 mata dikumpul dan dibezakan dengan hanya dua mata sahaja berbanding JDT kini.
Mengapa kami tetap anggap JDT berpeluang cerah untuk raih kemenangan hari ini?
Keyakinan JDT pada tahap terbaik
Beraksi di laman sendiri atau gelanggang lawan, jarang kita lihat suasana perlawanan berlangsung dengan senyap sunyi, kerana JDT sentiasa mendapat sorakan padu daripada kumpulan penyokong setia, Boys Of Straits sepanjang aksi berlangsung
Malah, JDT juga dilihat langsung tak menghadapi sebarang tekanan pada musim ini, walaupun beraksi di gelanggang lawan yang jauh lebih berprestij ketika di pentas ACLE.
Untuk pasukan seperti Nam Dinh? Secara logiknya bukan suatu masalah buat JDT untuk mengatasi mereka pada aksi hari ini.
Reputasi JDT lebih besar
Reputasi JDT dan Buriram United pada saingan ACC Shopee Cup musim ini cukup besar, kerana mereka sudah pun menghadapi cabaran besar di pentas AFC Champions League Elite.
Malah, JDT sendiri sudah berpengalaman berdepan kelab-kelab handalan dari Korea Selatan, Jepun, atau China sebelum ini untuk menyaksikan intensiti mereka berada pada tahap berbeza.
Bukan menafikan kelab-kelab dari Asia Tenggara lain, cuma ketika ini persiapan JDT jauh lebih besar dan bukan hanya tampil selaku pencabar biasa bagi kejohanan ACC Shopee Cup.
Kekuatan squad depth Harimau Selatan
Baik di kesebelasan utama atau simpanan, Xisco mempunyai pilihan pemain yang sangat menyakinkan untuk dibawa turun mengikut situasi semasa permainan.
Malah, JDT juga masih segar dengan beberapa pemain baharu pasukan tersebut yang sudah diandatangani di segenap posisi.
Walaupun Nam Dinh turut memiliki ramai pemain import, secara asasnya jurang kualiti kedua pasukan tersebut masih dapat dilihat daripada segi intensiti serta pengalaman.








