Mustahil Untuk Jumpa ‘Haters’ N’golo Kante
Dulu, kini, atau selamanya, N’golo Kante akan sentiasa disebut para peminat menerusi sikapnya yang seiring dengan kualiti permainan beliau di atas padang.
Bercakap tentang N’golo Kante, rasanya hampir mustahil untuk kita menemui sisi gelap beliau atau cerita tidak baik berkenaan dirinya dalam kalangan pengamal media atau peminat.
Pada usia 34 tahun, Kante sebenarnya sudah pun boleh digelarkan selaku ‘superstar’ dalam kalangan pemain bola sepak seluruh dunia ekoran kejayaan diraih serta reputasinya di atas padang.
Reputasi dan kejayaan Kante
Pemain Perancis ini cukup ikonik untuk diperkatakan ketika era beliau yang memuncak selaku salah seorang pemain tengah terbaik dunia pernah disaksikan.
Kejuaraan EPL, Champions League, UEFA Super Cup, atau Piala Dunia Kelab sudah pun dirasai ketika bermain di Eropah buat Chelsea dan Leicester City.
Penghijrahan beliau ke Arab Saudi bersama Al-Ittihad sendiri tidak kurang hebatnya, apabila Kante berjaya merangkul dua trofi kejuaraan sepanjang mewakili pasukan berkenaan.
Itu tidak lagi berkenaan kejayaan beliau mendakap kejuaraan Piala Dunia pada tahun 2018 ketika bersama Perancis di Russia.
Sikap Kante disayangi ramai
Jika kita melihat perkongsian atau artikel yang menceritakan tentang sikap Kante, semuanya boleh disimpulkan kepada sifat merendah diri tinggi dimilikinya.
Daripada cara beliau yang pemalu, kepada sikap kesederhanaan diamalkan, sehingga berkisarkan tentang dirinya yang sangat merendah diri walaupun diakui hebat oleh rakan dan lawan.
Sehingga ada yang menganggap situasi akan menjadi sangat pelik dan tidak logik jika Kante mempunyai musuh atau pembenci di seluruh dunia.
Perkongsian sikap Kante di Arab Saudi
Wartawan Arab Saudi yang juga merupakan penyokong Al Ittihad, Alaa Saeed turut berkongsikan sedikit pengalaman indah beliau mengenai sikap terpuji Kante.
“N’golo Kante satu-satunya pemain yang hadir solat Subuh secara berjemaah di masjid dan beliau sanggup hadir pada hari pengkebumian ayah saya walaupun rumahnya jauh di Jeddah,” kata Alaa.
Disebabkan itu, Alaa langsung tidak mengambil masa panjang untuk berfikir, apabila beliau terbang dari Arab Saudi ke Turkiye semata-mata untuk memberi sokongan pada aksi pertama Kante kini bersama Fenerbahce.
Penyokong terharu
Di media sosial, perkongsian tersebut mendapat perhatian peminat yang terharu dengan sikap Kante dan mengakui beliau sukar untuk mempunyai musuh.
Malah, ramai mahu Kante mendapat lebih banyak penghormatan daripada sepatutnya jika dinilai pada pencapaian dan sikapnya sendiri kepada masyarakat.
Percaya atau tidak, sikap terpuji dipamerkan Kante ini akan terus dikenang walaupun sehingga berpuluh-puluh tahun, kerana kelas dimiliki dibeliau tidak boleh dibeli, tetapi diiktira sendiri oleh mata dunia.









