Nama Faisal Halim kini antara yang meniti di mulut peminat dengan pelbagai pandangan telah diberikan menerusi media sosial sebelum aksi membabitkan Malaysia dan Singapura.
Terdahulu, Malaysia bakal mengharungi aksi seterusnya dalam saingan Piala Asean FIFA 2026 dengan lawan mereka seterusnya merupakan Singapura yang dianggap perlu diberi lebih perhatian.
Jika diikutkan, Malaysia mempunyai kelebihan atas kertas untuk mengatasi cabaran Singapura dengan pasukan lawan ketika ini telah merekodkan satu kekalahan ketika bertemu Indonesia dan sekali seri sewaktu mengetepikan cabaran Bangladesh.
Manakala Malaysia pula masih belum mencatat sebarang kekalahan dengan satu kemenangan sudah diraih ketika menewaskan Bangladesh serta terikat tanpa jaringan menentang Indonesia.
Daripada segi kualiti pemain juga, Malaysia dilihat lebih seimbang di segenap posisi jika dibandingkan pasukan lawan untuk cuba meraih kemenangan.
Permasalahannya, Malaysia dilihat perlu mencatat kemenangan lebih besar pada aksi ini ketika berdepan Singapura dan berharap Indonesia seri tipis atau raih kemenangan kecil sahaja ke atas Bangladesh jika ingin ke final.
Perubahan ditagih penyokong
Di media sosial, ramai mengharapkan Tan Cheng Hoe mampu membuat beberapa rombakan kecil daripada segi taktikal permainan serta perubahan dalam kalangan pemain utama.
Antara disebut, pastinya terarah kepada Faisal Halim yang dianggap kurang memberikan impak besar kepada siri serangan Malaysia sejak dua perlawanan diharungi terdahulu.
Malah, lebih ramai mempertikaikan kualiti permainan bintang serangan ini ketika bertemu Indonesia lalu apabila beberapa kali gerakannya mudah dihentikan lawan dan menyukarkan rakan sepasukan.
Ada juga pandangan menyatakan, kepantasan dimiliki Faisal sebenarnya lebih sesuai digunakan sebagai ‘supersub’ kini untuk mengkucar kacirkan pertahanan pasukan lawan terutama sekali di babak separuh masa kedua.
Posisi beliau pula dalam kesebelasan utama, ramai menganggap Manuel Hidalgo mampu menggalas tanggungjawab berkenaan dan Paulo Josue selaku pemain tengah serangan untuk membantu Bergson da Silva aktif mendapatkan gol.
Segalanya terserah buat Tan Cheng Hoe
Apapun, segala keputusan kini terletak di tangan Tan sendiri untuk memikirkan kesesuaian setiap pemain pilihannya dalam senarai kesebelasan utama sebelum berdepan cabaran daripada Singapura.
Faisal sebenarnya masih lagi relevan dan jika kita lihat semula pada aksi lalu, beliau sesekali berjaya memberi ancaman penting buat lawan menerusi hantaran berkualiti dalam petak penalti, serta gerakan lincah bersama Corbin Ong.
Namun, tidak salah juga buat Tan sendiri cuba membuat rombakan baharu dalam kesebelasan utama, serta membawa Faisal di separuh masa kedua bagi meningkatkan lagi peluang mendapatkan gol-gol penting.
Pada masa sama, ada juga penyokong mempertikaikan situasi semasa Daniel Ting yang sehingga kini masih lagi belum dipertaruhkan, walaupun pemain berkenaan mempunyai reputasi cukup tinggi di Thailand bersama Ratchaburi FC.
Tetapi seperti diperkatakan, Tan lebih mengetahui situasi sebenar para pemain dan kesesuaian mereka untuk dipertaruhkan dalam setiap perlawanan diharungi, termasuk aksi hari ini bertemu Singapura.





