Mujur Saja Belanda Tak Tewas
Kalau ikutkan, Belanda dah hampir diaibkan oleh pasukan lawan dengan prestasi ditampilkan mereka cukup longlai.
Saingan Piala Dunia 2026 diteruskan dengan membabitkan beberapa aksi yang berlangsung pagi ini, termasuk perlawanan Belanda dan Jepun di Kumpulan F.
Pada aksi yang berlangsung pada jam 4 pagi itu menyaksikan masing-masing terikat 2-2 dan ia jelas mendapat perhatian ramai peminat untuk melontarkan pendapat di media sosial.
Imbas kembali aksi tersebut, Belanda sebenarnya bermula dengan cukup baik untuk mendahului Samurai Biru menerusi Virgil van Dijk sebelum ia disamakan semula oleh Keito Nakamura.
Walaupun skuad kendalian Ronald Koeman kembali mendahului Crysencio Summerville, jaringan penghujung perlawanan Jepun hadir melalui Daichi Kamada untuk memastikan kedua negara tersebut saling terikat.
Aksi hambar Belanda yang gagal mengutip tiga mata penuh itu jelas mendapat perhatian ramai, termasuk legenda bola sepak, Jamie Carragher untuk meluahkan pandangan.
Pujian buat Jepun
Tanpa melihat kepada kegagalan Belanda semata, Carragher tampil memberi pujian penuh buat Jepun atas kualiti permainan yang ditampilkan mereka cukup baik.
Menurut Carragher, Jepun perlu diberi penghargaan sebaiknya kerana pasukan itu mampu mempamerkan aksi cukup tersusun, agresif, serta tidak takut mengawal bola lebih lama.
“Secara jujurnya, Jepun wajar diberikan kredit atas apa mereka lakukan pada aksi tersebut. Sebelum aksi, ramai ingat Belanda akan kuasai perlawanan dan meraih tiga mata penuh.
“Tetapi sebaliknya terjadi dengan Jepun menunjukkan kepada semua mengapa negara itu cukup berbahaya di pentas antarabangsa,” ujar Carragher.
Belanda jelas mengecewakan
Pada masa sama, Carragher mengakui beliau kecewa dengan apa ditampilkan oleh Belanda, terutama sekali ketika mereka sudah mendahului pasukan lawan.
Jelas beliau, Belanda dilihat terlalu berkeyakinan tinggi seolah mampu untuk mendapatkan tiga mata dengan mudah ke atas lawan sebelum sebaliknya terjadi.
Atas sikap ditampilkan itu, Jepun berjaya mengambil kesempatan ke atas Belanda dengan tekanan tinggi diberikan pasukan itu untuk mendapatkan gol.
Carragher juga menegaskan, kesilapan teknikal boleh dimaafkan, tetapi kehilangan fokus dalam permainan di pentas berprestij seperti itu tidak boleh diterima sama sekali.
Kualiti individu tak cukup
Akhir sekali, Carragher menegaskan kualiti individu sahaja tidak cukup di pentas Piala Dunia ini, kerana ia memerlukan sokongan sesama rakan sepasukan untuk meraih sesuatu kejayaan.
“Belanda ada pemain berkualiti tinggi di segenap posisi, tetapi keupayaan individu sahaja tak cukup untuk memenangi trofi Piala Dunia.
“Pasukan yang baik perlu menggabungkan bakat, disiplin, dan fokus yang tinggi untuk mencapai kejuaraan kerana ia bukannya sukan bersifat individu,” ujar Carragher lagi.
Sebelum menutup pendapat diberikan, Carragher turut menyatakan Belanda bernasib baik kerana mereka tidak tewas dalam perlawanan pembukaan tersebut.
Carragher turut membuat kesimpulan pada aksi berkenaan dengan menyatakan Jepun hadir pada aksi itu dengan keyakinan untuk bersaing dengan sesiapa sahaja. Manakala Belanda pula datang dengan jangkaan kemenangan seolah berpihak kepada mereka sejak awal lagi.





