Motivasi Cristiano Ronaldo ‘Wajib’ Dicontohi
Satu kali jatuh, beratus kali lagi beliau akan bangkit dan lakar kejutan tidak disangka dalam dunia bola sepak.
Nak jadi seperti Cristiano Ronaldo sekarang, bukannya mudah dan tak semua mampu untuk lakukan seperti apa beliau buat dalam hidup, demi bola sepak.
Bagi Ronaldo, bola sepak bukan suatu pekerjaan atau cuma minat sahaja dalam diri. Tetapi, ia merangkumi semua dan memberi pengaruh besar dalam sebahagian besar hidupnya.
Sebab itu pada usia yang sudah pun melepasi 40 tahun kini, Ronaldo masih lagi aktif dan mempunyai semangat cukup tinggi seperti pemain muda lain di atas padang.
Bersama kelab atau negara, menerusi gerak tubuh dan reaksi muka beliau sahaja kita sudah boleh menyifatkan, bola sepak terlalu bermakna buat pemain ini.
Malah, itu juga dipamerkan oleh penyerang tersebut awal pagi tadi ketika Portugal meraih kemenangan pertama mereka ke atas Uzbekistan di pentas Piala Dunia.
Kebangkitan semula Ronaldo
Imbas kembali pada aksi pertama menentang DR Congo, Ronaldo boleh dikatakan gagal memberikan sebarang ancaman cukup berbahaya dengan beliau cuma mampu melepaskan tiga percubaan tidak tepat sepanjang perlawanan berlangsung.
Selain itu, Portugal sendiri dilihat begitu bermasalah untuk menyesuaikan diri dalam permainan dan kurang berfungsi dalam situasi menyerang menerusi kreativiti dimiliki.
Tetapi, segala permasalahan itu dilihat berjaya diatasi mereka pada perlawanan kedua berdepan Uzbekistan dengan dua gol peribadi berjaya direkodkan oleh Ronaldo.
Jika diikutkan, Ronaldo sebenarnya mampu untuk meledak hatrik sebelum satu percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol lawan.
Sebanyak tujuh percubaan berjaya dilepaskan Ronaldo dengan lima daripadanya tepat ke sasaran dan dua telah pun diterjemahkan ke arah bentuk gol. Bukti penglibatan dirinya cukup tinggi.
Bruno Fernandes wajar raih pujian
Selain Ronaldo, nama Bruno antara yang turut mendapat kritikan keras penyokong pada perlawanan lalu kerana kreativiti beliau gagal dibuktikan cukup baik.
Pada aksi pagi tadi, Bruno kembali kepada pemain yang kita semua kenali semula menerusi hantaran kunci dan ketenangan mengawal siri serangan Portugal.
Dua bantuan gol berjaya direkodkan beliau pada aksi itu, dengan salah satu hantarannya tepat kepada Ronaldo untuk meledak jaringan yany sangat berharga.
Motivasi Ronaldo perlu dicontohi
Di media sosial, ramai memberi pujian kepada Ronaldo dengan mentaliti beliau cukup kuat untuk kembali bangkit daripada kekecewaan aksi lalu.
Sebagai pemain profesional, tidak ramai yang mampu mengawal emosi dan bangun semula dalam tempoh masa sekejap. Tetapi itu bukan dalam kamus Ronaldo.
Untuk bergelar salah satu bintang dunia ternama, Ronaldo mengajar kekuatan mentaliti antara perlu diperkukuhkan kerana ia mampu memberi kesan dalam permainan.
Buat pemain muda lain, contohi keazaman dan mentaliti milik Ronaldo.






