Mikel Oyarzabal, Penyerang Paling ‘Underrated’ Di Dunia
Nama dia tak ramai sebut, tapi statistik dia cukup berbisa buat Sepanyol!
Selepas tumpul pada perlawanan pertama menentang Cabo Verde, akhirnya Mikel Oyarzabal kembali membuktikan dirinya selaku penyerang berpengaruh dunia.
Saingan Piala Dunia 2026 kali ini terus tampil dengan pelbagai elemen kejutan dan drama, dengan salah satunya berkenaan penyerang Sepanyol, Oyarzabal.
Pada aksi pertama Kumpulan H lalu, Oyarzabal menjadi antara pemain yang cukup mengecewakan daripada segi impak atau sumbangannya buat Sepanyol.
Statistik permainan beliau ketika itu juga sangat menyedihkan dan penyerang berkenaan sebenarnya langsung tidak menyentuh bola bagi aksi 30 minit pertama perlawanan.
Tetapi cerita tersebut berubah pada aksi awal pagi tadi dengan Oyarzabal kembali membuktikan kelasnya tersendiri sewaktu berdepan Arab Saudi.
Bisa dan kreatif!
Ketika bertemu Arab Saudi, Oyarzabal hanya memerlukan tempoh 24 minit perlawanan sahaja untuk merekodkan:
•2 gol
•1 ‘assist’
Tempoh lebih kurang sama ketika beliau langsung tidak berfungsi sewaktu menentang Cabo Verde tetapi diterjemahkan dengan cukup bagus ketika berdepan Arab Saudi.
Lebih menarik, Oyarzabal sendiri hampir meledak hatrik pada perlawanan tersebut sebelum percubaannya gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Kelibat beliau sendiri tampil cukup aktif pada aksi tersebut dan pemain berusia 29 tahun tersebut bijak melepaskan diri daripada kekangan pertahahan lawan.
Walaupun dibawa keluar pada separuh masa kedua, Oyarzabal kekal selaku pemain yang paling banyak menerima rating (9.2 mata) menerusi perkongsian Sofascore.
Dilabel selaku penyerang ‘underrated’
Dalam kalangan penyokong di media sosial, ada yang menganggap Oyarzabal kurang diberi tumpuan selaku salah seorang peledak terbaik dunia.
Ini mungkin ekoran kelab diwakilinya, Real Sociedad sendiri kurang menyerlah walaupun catatan peribadi Oyarzabal bersama pasukan itu daripada segi rekod jaringan cukup memuaskan.
Apatah lagi di La Liga sendiri beliau dibayangi pemain bintang seperti Kylian Mbappe, Lamine Yamal, Vinicius Jr, serta beberapa lagi tonggak serangan lain yang mendapat tumpuan peminat.
Tetapi untuk Sepanyol, reputasi beliau tidak boleh dipertikaikan lagi baik di pentas Eropah atau dunia dengan Oyarzabal sudah pun menyumbang 21 gol daripada 13 perlawanan terakhir bersama negara berkenaan.
Jadi, salam pengenalan Oyarzabal pada aksi bertemu Arab Saudi sudah cukup untuk membuktikan beliau sebenarnya antara penyerang cukup aktif dalam penglibatan gol, dan perlu diberi tumpuan lebih pada saingan Piala Dunia 2026.





