Selepas mengharungi lima perlawanan musim 2026/2027 dalam saingan English Premier League (EPL), akhirnya juara bertahan, Arsenal merekodkan kekalahan pertama mereka di tangan Brighton & Hove Albion menerusi keputusan 0-3.
Beraksi di gelanggang lawan, Arsenal sebenarnya dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenanginya, apabila mereka membawa momentum semua kemenangan sejak empat aksi EPL lalu dengan aksi cukup positif di atas padang.
Namun, segalanya tidak seperti dijangka, apabila skuad kendalian Mikel Arteta merekodkan kekalahan pertama tersebut, selain dibolosi sebanyak tiga kali untuk mendapat perhatian dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.
Tuan rumah, Brighton jelas dilihat bersedia untuk mengharungi perlawanan tersebut, apabila mereka tenang menyerap tekanan lawan dan bijak menggunakan setiap peluang terhidang untuk diterjemahkan kepada bentuk jaringan.
Pada aksi berkenaan juga menyaksikan Arteta antara menjadi tumpuan peminat, apabila sesetengah daripadanya di media sosial menyalahkan pengendali tersebut atas kekalahan Arsenal.
Arteta tak ada pelan B untuk atasi Brighton?
Jika dilihat pada aksi tersebut, Arteta telah menggunakan formasi 4-2-3-1, dengan Kai Havertz selaku penyerang utama The Gunners untuk mendapatkan gol. Sambil itu, tiada perubahan besar dilakukan beliau dalam senarai kesebelasan utama.
Separuh masa pertama menyaksikan Arsenal begitu tumpul di hadapan gawang gol, dengan hanya tiga percubaan sahaja mampu dilakukan pasukan berkenaan, selain disiplin pertahanan yang dipacu oleh Gabriel Maghalaes tidak menyakinkan sehingga mereka dibolosi dua gol.
Bersambung di separuh masa kedua, pertikaian mula muncul apabila tiada sebarang rombakan dibuat Arteta dan aksi ditampilkan masih serupa. Menguasai permainan, tetapi tiada kreativiti merangkai serangan serta barisan pertahanan alpa kepada lawan.
Hasilnya, satu gol lagi berjaya diraih Brighton untuk meletakkan mereka terus selesa 3-0 di hadapan pelawat dan beraksi seolah tanpa sebarang tekanan. Tenang menyerap serangan lawan dan begitu tersusun ketika menyerang balas. Pascal Groß menjadi kunci utama kepada kekuatan pasukan tersebut.
Arteta sebaliknya membuat pertukaran pemain selepas mereka ketinggalan tiga gol dan menumpukan kepada pemain tengah serta serangan dalam usaha mendapatkan semula jaringan penting perlawanan. Tetapi semuanya gagal membuahkan hasil.
Kritikan kepada Arteta
Di media sosial, ramai mempertikaikan peranan Arteta yang dilihat lambat menyedari kelemahan semasa serta beberapa pemain gagal memberikan impak lebih awal dalam permainan seperti Bukayo Saka serta Martin Odegaard, daripada segi ancaman sejak separuh masa pertama.
Arteta membuat lima pertukaran pemain, termasuk Max Dowman yang dibawa masuk pada penghujung aksi, dengan penyokong menganggap itu mungkin merupakan bentuk keajaiban sahaja ditagih Arteta tanpa persediaan lebih baik.
Seperti dijangka, segalanya gagal membuahkan sebarang hasil, dengan Arsenal langsung tidak mempunyai sebarang peluang untuk mendapatkan walau satu gol pada aksi berkenaan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Pendapat lain menyaksikan ada penyokong yang mahu Arteta tidak perlu terlalu ego selepas ini, dan mampu menggunakan otak ketika mengatur strategi serta membuat perubahan pemain lebih baik dengan mengambil iktibar perlawanan semalam.
Apapun, dengan saingan liga yang akan bercuti seketika selepas ini, pengendali tersebut perlu memikirkan solusi terbaik untuk memastikan Arsenal keciciran sebarang mata yang dianggap sia-sia lagi dalam kalangan peminat.






