Michael Olise Lebih Bagus Berbanding Yamal
Dengan statistik dan aksi yang positif, Olise pada musim ini berada pada satu tahap cukup berbeza.
Nama pemain serangan Bayern Munich, Michael Olise pada musim ini mungkin tidak begitu menjadi tumpuan media atau peminat seluruh dunia jika dibandingkan dengan rakan sepasukannya, Harry Kane.
Sebenarnya, musim ini Olise sudah pun berada pada satu tahap yang cukup hebat untuk salah seorang pemain bola sepak daripada antara saingan terbaik Eropah.
Kualiti permainan bintang Perancis itu di posisi serangan yang cukup baik, menjadikan beliau selaku antara pilihan utama Vincent Kompany untuk memperkukuhkan jentera hadapan pasukan tersebut.
Malah, aksi beliau ketika Bayern Munich menewaskan Real Madrid juga boleh dikatakan cukup menarik, dengan satu bantuan jaringan turut direkodkan Olise ketika mereka membenam pasukan lawan.
Ini membuktikan beliau dan pasukan bukan sekadar jaguh kampung, tetapi berupaya untuk kembali mencabar kejuaraan UEFA Champions League (UCL) pada saingan musim 25/26 jika kita lihat pada momentum semasa mereka.
Statistik Olise cukup mengujakan
Bercakap tentang statistik pemain ini, kita boleh katakan beliau antara pemain yang sangat konsisten dan berjaya membuktikan konsistensi selaku kunci utama kekuatannya buat Bayern Munich.
Musim ini menyaksikan Olise sudah pun menyumbang 45 jaringan secara keseluruhan selepas beraksi dalam 41 perlawanan bersama Bayern Munich dalam semua kejohanan.
Untuk aksi UCL sahaja, Olise sudah menyumbang 10 gol daripada 10 perlawanan, termasuk aksi suku akhir terbaharu ketika berdepan Real Madrid.
Secara purata, pemain berusia 24 tahun ini terlibat kira-kira 35% hingga ke 40% daripada keseluruhan gol yang direkodkan oleh Bayern kini di pentas Bundesliga.
Perbandingan Olise dan Yamal di mata penyokong
Menerusi media sosial kini, perbandingan baharu sudah mula dibuat antara Olise bersama beberapa lagi pemain sayap Eropah lain, termasuk Lamine Yamal.
Ada yang beranggapan kini Olise jelas lebih bagus berbanding Yamal dan berhak mendapat tumpuan media serta pengiktirafan yang sepatutnya berbanding bintang muda Barcelona tersebut.
Malah, tak kurang menyatakan nama Olise patut berada dalam senarai pencalonan Ballon d’Or dan mendapat peluang lebih tinggi untuk memenanginya jika dibandingkan Yamal.
Walaupun begitu, kami melihat perbandingan seperti ini tidak perlu dibuat kerana Yamal dan Olise masing-masing berada dalam kelas tersendiri dan memberi sumbangan besar buat pasukan masing-masing.
Malah, perbezaan umur antara kedua pemain ini juga dianggap sesuatu yang sangat tidak patut untuk para peminat membuat perbandingan kualiti mereka di atas padang.
Apapun, Olise jelas menjadi satu tumpuan utama yang patut diberikan oleh ramai pihak, selepas statistik dan kualiti permainannya yang cukup menarik pada persaingan musim ini bersama Bayern Munich.







