Manchester United menjadi antara pasukan yang sangat malang pada aksi pembukaan mereka bagi saingan musim 2026/2027 di pentas English Premier League (EPL).
Tatkala mereka hadir dengan reputasi cukup tinggi pada saingan musim lalu, ramai menjangkakan skuad kendalian Michael Carrick tak berdepan masalah untuk hadapi cabaran Hull City di gelanggang lawan.
Apa tidaknya, Hull City antara kelab pencabar baharu dari saingan Championship musim lalu yang dilihat mungkin menjadi lawan lebih mudah kepada Man United pada perlawanan pertama mereka.
Namun, sebaliknya berlaku apabila mereka ditewaskan oleh tuan rumah menerusi keputusan 0-2 hasil ledakan Nobel Mendy dan Semi Ajayi untuk mengejutkan cabaran Man United.
Keputusan itu menyaksikan hasrat ramai untuk melihat Man United memperoleh tiga mata sulung pertama musim ini tidak kesampaian dan pasukan berkenaan mendapat kritikan ramai.
Penyokong persoal sentuhan Carrick
Ya benar, baru perlawanan pertama tetapi Carrick kini sudah mula mendapat kritikan daripada sesetengah peminat di media sosial yang tak berpuas hati dengan penerapan taktikal beliau.
Pada aksi itu, Man United seolah tak beraksi seperti kebiasaan bawah kendalian Carrick, dengan banyak kesilapan-kesilapan mudah tidak dapat dielakkan pasukan tersebut.
Malah, ada yang menganggap status interim mungkin lebih sesuai kepada Carrick, berbanding jawatan tetap selaku pengendali yang dianggap malang.
Apa jawapan Carrick?
Pengendali tersebut tampaknya masih optimis dengan kekalahan pertama mereka sebelum ini dan beliau menganggap itu cuma satu perlawanan sahaja.
“Satu perlawanan tak akan ubah sebarang haluan pasukan, tapi kita kena sedar untuk melihat mana lagi perlu dipertingkatkan pada masa hadapan.
“Kami akan kekal tenang, kerana ini cumalah satu perlawanan sahaja,” ujar Carrick menerusi perkongsian dibuat oleh Fabrizio Romano di X.
Bagaimana dengan aksi Man United seterusnya?
Bagi aksi seterusnya, pasukan tersebut bakal berdepan satu lagi wakil kelab dari saingan Championship musim lalu yang segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Sunderland.
Melihat kepada momentum semasa lawan, jelas ini menjadi suatu isyarat penting buat Carrick untuk merombak sedikit skuad kendaliannya serta barisan kesebelasan utama yang lebih ampuh.
Salah satu kelemahan ketara Man United pada aksi lalu terarah kepada disiplin pertahanan yang tidak begitu peka dengan siri serangan balas pantas lawan, dan terlalu bergantung kepada Bruno Fernandes daripada segi kreativiti serangan.
Apapun, ini akan menjadi satu lagi lawan yang sukar dijangka kem The Red Devils bagi mendapatkan tiga mata pertama mereka pada musim 26/27.





