Mi Segera Nikmat Sebenaq Bola Sepak Malaysia
Benda sedap dan senang. Hang bukak paket mi tu, rebuih 3 minit dan siap. Sapa tak marah nak tunggu lama-lama. Macam bola kita la.
Mi segera ni boleh kita habaq memang sebati dah dalam kalangan rakyat Malaysia. Hang sua la ke lapisan umoq, jarang depa nak tolak.
Sebab apa? Sebab sedap la. Nak masak tu cepat sepasai. Untuk hang dapatkannya tu pun mudah. Tak payah nak melilau sangat cari.
Tapi benda hat tak sedap tu, mi segera ni kurang sihat kalau hang makan banyak sangat. Tak kena gaya macam-macam penyakit boleh dok mai. Hang sedaq atau tidak ja.
Benda yang mak pak kita dulu dok bagi takut kalau kita makan mi segera ni:
“Jangan dok makan banyak sangat. MSG banyak tu. Botak kepala nanti tak sempat hang nak dewasa. Mau ka? Penyakit macam-macam lagi.”
Apa kaitan dengan bola?
Ya, apa jadah Mat Apit dok ajak sembang pasai mi segera dalam laman sukan SB ni? Lari topik jauh pulak kalau lagi 3-4 perenggan dok ulas tentang perkara ni.
Dak, ada kaitan dia dengan bola sepak Malaysia ni kalau hangpa semua perati betui-betui. Tak payah nak tengok jauh. Tengok pada diri kita sebagai peminat, kawan hang, atau Paklang Mat di simpang tiga Sungai Limau.
Kebanyakan sentiasa mengharapkan kejayaan ‘segera’ dalam bola sepak negara. Baik daripada segi pembangunan akaq umbi, peringkat kelab, atau skuad kebangsaan.
Kalau boleh, hari ni depa dibentuk, esok terus nak harapkan pemain dan pembangunan dibuat tu membuahkan hasil. Tak sempat nak tunggu setahun. Jari lagi laju daripada otak nak kritik.
Awai-awai kena tekan dah
Ya, suasana bola sepak pembangunan akaq umbi ni pun menarik. Ada jenis mak bapak yang kalau boleh nak anak depa teruih hebat dan sentiasa diberi peluang beraksi. ‘Knowledge’ mengalahkan jurulatih yang bertugas.
Tekanan-tekanan awai diberikan ni la merosakkan perkembangan bakat muda yang masih perlukan masa dalam pembentukan depa sebagai pemain bola sepak.
Akhir sekali, hasil hat sepatutnya mampu berkembang lingkup. Nampak kelab yang anak depa main tu kalah sikit kena kritik dah. Sana sini tak puas hati.
Lepas tu, muka sama ni jugak yang bising pi mana pemain pelapis muda nak wakil Malaysia ni nanti, sedangkan punca daripada depa ni jugak. Geng ‘segera’.
Peringkat kelab pun haru
Masuk ke peringkat kelab ni ikutkan lagi banyak geng ‘mi segera’ ni. Tengok kelab macam Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu beli import dan raih trofi, pakat kalut nak desak pasukan sendiri buat benda sama jugak.
Pengurusan pun jenis tak tengok ke lain, terus borong import ramai-ramai sebab sasaran segera depa, cuba kalahkan JDT.
Tapi tang pembangunan fasiliti dan perkembangan kelab tu nak berjaya dari tahun 2013, tak dak sapa nak cuba belajaq walau sikit.
Padang latihan? Fasiliti? Nuu, semua menyewa. Yang ada pun kualiti serupa daripada divisyen kelima saingan bola sepak Jerman. Sampai tahap nak salin baju masa sesi latihan pun buat dalam kereta masing-masing.
Kemudian pengurusan kelab sendiri juga botak kepala serupa terlebih makan mi segera sebab tunggakan gaji akibat ambil terlalu ramai import sebab sasaran nak riak semata-mata.
Pemain tempatan tak dapat tempat, gaji tertunggak, nak pintas JDT tak mampu, dan akhir sekali penyokong yang awai nak kejayaan segera ni pun senyap pi habis biaq pasukan terkontang kanting.
Merebak ke skuad Harimau Malaya
Ya, disebabkan ramai penyokong suka mi segera, budaya ni kita bawak ke skuad kebangsaan dengan merekrut ramai pemain warisan dari serata dunia.
Nak bangunkan bakat tempatan macam Jepun buat susah, kita guna cara sedemikian. Tak salah, sebab awai tu nampak impak yang Malaysia catat keputusan baguih di pentas antarabangsa.
Tak baguihnya, ada isu la pulak. Sampai kita kena gantung dengan FIFA. Nak salahkan mana-mana pihak pun tak boleh jugak. Sebab budaya kita yang suka ke mi segera. Nak benda sedap dalam masa cepat.
Mikel Arteta kalau mai sini silap tengah musim pun boleh kena pecat dah. Tak adanya ‘trust the process’. Dalam tempoh beberapa bulan tak ada hasil, sila berambus.
Pada akhirnya, budaya ni akan terus kekal dan Mat Apit bersama hangpa semua akan terus persoal masa depan bola sepak Malaysia sambil mulut sedap mengunyah mi segera.
Sllrrrppp! (bunyi sedut mi segera)





