Messi ‘GOAT’ Sebenar Dunia Bola Sepak
Tak perlu nak debat lagi siapa raja bola sepak sebenar dunia. Jurang beliau terlalu jauh untuk dikejar pemain normal lain.
Pada usia 38 tahun, Lionel Messi jadikan saingan Piala Dunia seolah tempat beliau untuk menghasilkan rekod-rekod baharu sahaja bersama Argentina.
Terbaharu, beliau berjaya merekodkan dua lagi jaringan peribadi yang membantu negara diwakilinya meraih kemenangan 2-0 ke atas Austria di peringkat Kumpulan J.
Hasil kemenangan itu menyaksikan Argentina dengan selesa melayakkan diri ke pusingan seterusnya menerusi dua kemenangan berturut-turut diperoleh.
Siapa individu penting yang membawa Argentina ke pusingan seterusnya? Messi. Lima gol direkodkan Argentina sejak dua perlawanan lalu terhasil melalui pemain ini.
Tonggak senior 38 tahun yang sudah mencipta pelbagai magis dalam dunia bola profesional dan kekal konsisten sehingga kini sebagai ikon cukup penting kepada semua penyokong.
Messi dan rekod baharu
Ketika ini, satu lagi rekod baharu berjaya direkodkan Messi, dengan beliau sudah pun bergelar penjaring terbanyak Piala Dunia sepanjang zaman.
Jika aksi lalu, Messi menyamai rekod Miroslav Klose dengan 16 gol di pentas Piala Dunia, kini rekod itu berubah dengan beliau berjaya memintasnya untuk berada pada kedudukan pertama.
18 gol kini sudah pun direkodkan Messi dan itu merupakan jumlah jaringan paling tinggi pernah direkodkan oleh seorang pemain bola sepak di pentas Piala Dunia.
Satu rekod yang sangat tinggi kini ditetapkan oleh Messi yang dilihat sukar untuk cuba diatasi mana-mana pemain generasi baharu selain Mbappe pada era hadapan.
Lebih menarik, Messi juga bukannya seorang penyerang tulen dan sangat aktif sepanjang tempoh 90 minit permainan di atas padang bersama Argentina.
Messi akui makin letih
Selaku antara pemain senior di pentas Piala Dunia 2026, Messi akui dirinya semakin lelah untuk memikirkan rekod baharu apa lagi mampu dicapai.
Tumpuan utama beliau kini lebih terarah kepada menikmati setiap kemenangan mampu diraih bersama rakan sepasukan di Argentina dalam saingan berkenaan.
“Saya dah letih sekarang, saya sendiri pun tak fikirkan dah pasal perkara berkenaan (rekod jaringan). Buat masa sekarang, saya nak nikmati kemenangan dengan rakan sepasukan sahaja,” ujar Messi.
Sehingga kini sukar untuk kita mempercayai sentuhan Messi sendiri masih lagi cukup hebat di atas padang dan membuatkan semua yakin dirinya merupakan pemain terbaik sepanjang zaman (GOAT) dalam dunia bola sepak.
Jika bukan Messi, siapa lagi lebih layak untuk memegang takhta tersebut? Segala sudah pun dibuktikan dan beliau bukan sekadar pemain berkualiti, tetapi selaku ikon.





