Messi 'Bermasalah' Sejak Dulu lagi
Nak kata apa lagi? Sejak dahulu lagi beliau dah bermasalah.
Setiap musim, seolah-olah tak sah kita nak memperkatakan tentang rekod-rekod baharu yang dicipta oleh Lionel Messi dalam kancah bola sepak profesional.
Bukannya tak ada pemain baharu berbakat besar dilahirkan sejak beberapa musim lalu, tetapi masih tiada siapa yang dapat memadam nama pemain tersebut daripada segi rekod kejayaan, statistik, atau konsistensi dilakar dirinya.
Pada usia 39 tahun, Messi terbaharu muncul dengan rekod baharu selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman MLS Leagues Cup, suatu lagi kejayaan individu direkodkan bintang Argentina ini dalam karier.
Rekod itu diperoleh, selepas beliau cemerlang merekodkan dua gol peribadi ketika Inter Miami menewaskan Atletico de San Luis di saingan tersebut menerusi kemenangan 4-2 di halaman sendiri.
Bukan kemenangan sahaja diraikan oleh para penyokong Inter Miami, tetapi reputasi Messi sendiri yang cukup unggul pada aksi itu selepas masih segar daripada saingan Piala Dunia 2026 lalu.
Statistik jaringan menggila
Pada aksi berkenaan juga menyaksikan Messi menjadi pemain yang mendapat rating sangat tinggi oleh Sofascore (10) dengan beliau bukan sahaja meledak dua gol, tetapi turut menghasilkan satu bantuan jaringan.
Sehingga kini, pemain berusia 39 tahun itu sudah pun merekodkan 921 gol dan 419 bantuan jaringan secara keseluruhan dalam karier profesional untuk kelab serta pasukan kebangsaan, Argentina.
Ini bermakna, kita masih berpeluang untuk melihat seorang lagi pemain melakar 1000 jaringan dalam karier untuk masa akan datang, dengan Messi hanya memerlukan 79 gol peribadi sahaja lagi.
Untuk Inter Miami sahaja menyaksikan Messi sudah pun merekodkan 92 gol peribadi selepas merekodkan 106 penampilan termasuk pada perlawanan diharungi beliau semalam.
Suatu rekod yang cukup hebat sebenarnya untuk diperkatakan kepada seseorang yang sudah pun berusia 39 tahun yang masih lagi seimbang daripada segi sumbangan gol di pentas tertinggi.
Messi kekal bermasalah
Sejak awal penampilan beliau, Messi kekal bermasalah buat mana-mana pertahanan lawan menerusi kualiti ditampilkannya yang cukup konsisten di atas padang, walau bola sepak dunia kian mengalami perubahan daripada segi intensiti permainan.
Baik bersama Barcelona, Paris Saint-Germain (PSG), Argentina, atau Inter Miami, beliau kekal menjadi antara igauan ngeri buat pertahanan lawan dan menjadi kajian utama ramai pemain-pemain baharu dari seluruh dunia.
Ketika ramai menyangkakan beliau sudah pun memperlahankan kariernya sejak memenangi Piala Dunia 2022, sebaliknya berlaku apabila dirinya masih unggul dan mencatat pelbagai rekod baharu lagi dalam karier.
Cakap apapun mengenai beliau, untuk ketika ini masih belum ada sesiapa pemain yang mampu kekal relevan, melakar rekod baharu, dan menjadi nadi utama seperti apa ditampilkan oleh Messi.
Siapa tahu, rekod 1000 gol yang sebelum ini terarah kepada Cristiano Ronaldo mungkin bakal dipintas terlebih dahulu Messi pada aksi-aksi mendatang.





