Messi Akui Cabo Verde Paling Sukar dihadapi
Bila GOAT sendiri cakap macam tu, maknanya Cabo Verde ni sangat diakui dalam saingan Piala Dunia 2026!
Perjalanan Cabo Verde di pentas Piala Dunia 2026 secara rasminya telah pun berakhir, apabila mereka disingkirkan oleh juara bertahan, Argentina menerusi keputusan 2-3 di pentas 32 terbaik.
Kali pertama menjejakkan kaki di saingan Piala Dunia, tidak ramai peminat meletakkan jangkaan tinggi kepada Cabo Verde, dengan ada beranggapan mereka sekadar memenuhi ‘korum’ sahaja.
Dengan latar pemain yang mewakili negara itu juga tidak ada yang benar-benar menyakinkan, maka tidak hairan mengapa Cabo Verde pada awalnya langsung tidak diberi tumpuan.
Tetapi sebaliknya berlaku,l sejak aksi pertama mereka menentang Sepanyol, apabila Cabo Verde berjaya mengikat gergasi Eropah tersebut menerusi keputusan seri tanpa jaringan.
Malah, Cabo Verde langsung tidak mencatat kekalahan sepanjang mengharungi tiga perlawanan dalam peringkat Kumpulan H, walaupun hadir dengan status bukan pilihan.
Statistik menyakinkan
Di Piala Dunia 2026, skuad kendalian Bubista itu telah merekodkan empat perlawanan secara keseluruhan termasuk di pentas 32 terbaik pagi tadi.
Cabo Verde hanya mencatat satu kekalahan sahaja, ketika bertemu Argentina pagi tadi menerusi keputusan 2-3 dan selebihnya tiga lagi perlawanan tamat dengan seri.
Lebih menarik, Cabo Verde juga hanya dibolosi sebanyak lima gol walaupun berdepan dengan negara yang mempunyai penyerang handalan seperti Sepanyol dan Argentina.
Malah, mereka juga membuktikan para pemain diwakili berkelas dunia untuk turut merekodkan empat gol. Dua daripdanya, diraih ketika berdepan cabaran Argentina awal pagi tadi.
Kekuatan Cabo Verde diakui Messi
Selepas perlawanan pagi tadi, penyerang Argentina itu mengakui sejak awal lagi mereka bakal menghadapi aksi yang cukup sukar dan tidak memandang rendah keupayaan Cabo Verde.
“Kami dah agak aksi ini akan menjadi sangat sukar. Ini bukannya suatu kebetulan apabila mereka tidak mencatat kekalahan ketika berdepan Sepanyol atau Paraguay.
“Ini adalah peringkat kalah mati. Tak ada mana-mana pasukan pun yang akan memberikan kamu sesuatu secara percuma,” ujar Messi menerusi perkongsian Fabrizio Romano.
Pada masa sama, Messi turut mengakui keistimewaan Piala Dunia terletak setiap pasukan yang tidak boleh dipandang remeh dan kesukaran beraksi pada hari perlawanan.
“Sesetengah orang memandang rendah beberapa pasukan. Tapi kami tahu ini takkan jadi aksi yang mudah untuk diharungi.
“Ini yang menjadikan Piala Dunia sangat istimewa. Semua pasukan hampir sama. Dan setiap aksi sangat sukar,” katanya lagi.






