Mesin Gol Ini Dah Mula Jajah Amerika Syarikat!
Dah puas cipta sensasi di Eropah, kini giliran Amerika Syarikat pula dijadikan jajahan baharu.
Selepas mengharungi tiga perlawanan, akhirnya Robert Lewandowski membuktikan beliau masih berbisa dan itu juga merupakan salam pengenalan daripadanya buat Amerika Syarikat.
Pada aksi terbaharu Chicago Fire semalam, Lewandowski berjaya mencetak dua gol peribadi yang memastikan pasukan itu kembali meraih kemenangan cukup penting.
Manisnya, jaringan Lewandowski itu direkodkan beliau pada penampilan sulungnya di laman sendiri yang sekali gus, memberi keterujaan cukup besar dalam kalangan penyokong setia.
Kemenangan 2-1 ke atas Charlotte itu juga kini meletakkan Chicago Fire berada di tangga keempat dengan 29 mata diraih selepas mereka mengharungi 17 perlawanan.
Pada aksi tersebut, nama Lewandowski menjadi tumpuan utama dek kerana ketajamannya membantu Chicago Fire kembali memperoleh kemenangan, serta aksi cemerlangnya sendiri di atas padang.
Kualiti Lewandowski menyerlah
Menjadi pemain paling tua di atas padang dengan berusia 37 tahun, ianya tidak menghalang pemain tersebut untuk menjadi pemain paling menyerlah di atas padang.
Pada aksi itu juga menyaksikan pemain kebangsaan Poland tersebut meraih rating tertinggi (9.6) selepas unggul dengan dua gol peribadinya.
Selain itu, statistik juga menyaksikan Lewandowski membawa pengaruh cukup besar atas faktor kualiti dan pengalamannya terdahulu untuk mengemudi serangan Chicago Fire.
Berikut merupakan ringkasan statistik Lewandowski pada aksi tersebut:
•4 percubaan
•2 percubaan tepat
•2 gol
•2 hantaran kunci
•1 peluang besar dicipta
•27 sentuhan
•13/15 hantaran tepat
Faktor ketenangan, dan sentiasa bijak meletakkan diri di posisi yang tepat menjadikan pemain berpengalaman tersebut cukup berbahaya pada perlawanan berkenaan.
Pujian penuh penyokong
Di media sosial, Lewandowski menjadi pemain paling mencuri tumpuan dan diberi pujian menyeluruh oleh para peminat mengenai ketajamannya.
Ramai pada awalnya menjangkakan karier Lewandowski mungkin perlahan-lahan akan menurun dek faktor usia dan beliau hanya meneruskan karier dengan tenang sahaja di Amerika Syarikat.
Tetapi, keupayaan beliau masih lagi menyerlah sama seperti karier dirinya memuncak suatu ketika di Eropah selaku salah seorang peledak berbisa yang telah meraih pelbagai kejuaraan buat kelab atau individu.
Walau tidak dikelilingi nama besar dalam padang, impak kemunculan Lewandowski itu sendiri memainkan peranan penting untuk menjadikan siri serangan kelab tersebut bertambah menyakinkan.
Suka untuk kita semua terus melihat, bagaimana Lewandowski meneruskan jajahan beliau untuk meraih kejayaan, setelah ianya sudah dilakukan ketika berada di Jerman dan Sepanyol.





