Menyesal Makan Di Rumah Cristiano Ronaldo
Tak semua mampu ikut dan faham dengan rutin harian Cristiano Ronaldo.
Kalau kita cakap tentang Cristiano Ronaldo, semua mengetahui dan mengakui beliau sebagai antara pemain bola sepak yang cukup hebat di dunia dan kekal konsisten sehingga kini.
Jika zaman muda beliau lebih dikenali menerusi kelincahan dan kepantasan mengawal bola, Ronaldo terus beradaptasi untuk menjadikan dirinya kekal relevan dengan bergelar selaku penyerang berbisa pula kini.
Persoalan timbul kadangkala dalam kalangan peminat jika Ronaldo sebenarnya memang dikurniakan bakat yang begitu hebat atau kerana beliau sentiasa berusaha untuk menjadi antara terbaik?
Bayangkan, pada usia 41, beliau masih lagi relevan bersama kelab dan juga pasukan kebangsaan, dek kerana faktor kecergasan dan kualiti mampu dipertaruhkan.
Disebabkan itu, bekas rakan sepasukan Ronaldo ketika di Real Madrid, Emmanuel Adebayor berkongsi pandangan beliau tentang rahsia kehebatan penyerang kebangsaan Portugal berkenaan.
Rutin luar biasa Ronaldo
“Bila saya sampai di Real Madrid, semua tahu yang Ronaldo ni jenis menepati masa dan sangat profesional. Saya pun nak berikan yang terbaik pada hari pertama saya.
“Sejam sebelum latihan saya buat keputusan untuk sampai awal di pusat latihan (8:45 pagi). Saya nak jadi contoh yang saya juga profesional.
“Tetapi sebaik saja saya sampai, Ronaldo memang dah ada di sana dan sedang berenang. Saya tak percaya yang dia sampai sejak jam 7:30 pagi lagi dan sudah membuat rutin sendiri.
“Sejak itu saya sedar, dia ada di sana awal bukan untuk buatkan semua kagum, tetapi itu memang rutinnya yang dipenuhi rasa minat mendalam serta disiplin tersendiri.
“Dan sejak itu juga saya sedar, menjadi seseorang yang bagus atau bergelar legenda bukan kerana bakat sahaja, tetapi komitmen harian ditetapkan.
“Pada usia 41 tahun dia masih beraksi di pentas tertinggi, contoh nyata apabila anda melakukan perkara yang disayangi,” ujar Adebayor.
Jangan pergi undangan makan tengahari Ronaldo!
Selain itu, Patrice Evra turut berkongsikan diet pemakanan Ronaldo yang tidak akan digemari orang lain termasuk dirinya sendiri.
“Saya pernah ke rumah Ronaldo selepas sesi latihan dan mengharapkan hidangan makanan yang lebih relaks, tapi itulah juadah paling membosankan saya pernah lihat.
“Cuma beberapa jenis salad, isi ayam, dan air kosong. Tiada jus, tiada air gas atau hidangan lain. Kami pun makan secepatnya.
Selepas itu, Ronaldo mengajak saya bermain 1-2 sentuhan di taman, berenang, serta berada dalam sauna. Kemudian baru saya sedar, itu bukannya makan tengahari, tetapi sesi ‘recovery,’”ujar Evra.
Dari sini kita sedar untuk menjadi seorang Ronaldo, terlalu banyak perlu dikorbankan yang semua pun belum pasti mampu mengikutinya atau tidak walau pemain profesional lain sekali pun.
•Pemakanan
•Latihan tambahan
•Disiplin masa
Itu menjadikan Ronaldo kekal relevan sehingga kini walaupun sudah menjengah 41 tahun. Ianya bukan sekadar bakat, tetapi usaha berlebihan diperlukan untuk menjadi terbaik di dunia.





