Membedah Siri ‘Anime’ Terkenal Jepun: Blue Lock
Siri anime dari Jepun, Blue Lock boleh dikatakan sangat terkenal kini di seluruh dunia, kerana pendekatan berbeza ditampilkan, telah menarik minat ramai penonton.
Sejak ditayangkan pada tahun 2022, siri anime ini menjadi perbualan ramai ekoran falsafah yang diterapkan telah mengubah landskap bola sepak daripada pandangan kita semua.
Malah, anime ini juga dilaporkan menjadi sumber inspirasi buat skuad kebangsaan Jepun ketika saingan Piala Dunia 2022 lalu, dengan rekaan jersi mereka juga bertemakan Blue Lock,
Di media sosial, pelbagai perbincangan dalam kalangan netizen berlaku menerusi siri tersebut, selain watak-watak diperkenalkan juga sangat menarik untuk diperkatakan.
Premis anime ini mudah, sekumpulan pemain di posisi penyerang bola sepak remaja berbakat Jepun telah dikumpulkan seramai 300 orang dalam satu projek tertutup yang diberi nama Blue Lock.
Matlamat penubuhan projek ini adalah bertujuan untuk melahirkan penyerang terbaik dunia buat skuad kebangsaan Jepun.
Projek ini juga dikendalikan oleh seorang jurulatih genius, Jinpachi Ego yang percaya punca kegagalan Jepun di pentas Piala Dunia sebelum itu disebabkan masalah penyerang dan kekurangan rasa ‘ego’ dalam kalangan pemain.
Baik, siri ini sebenarnya menjadikan sikap ego sebagai motif utama dengan setiap penyerang perlu membuang rasa percaya kepada orang lain di atas padang dan mengorbankan rakan sepasukan lain demi mencapai kejayaan.
Jika kita imbas kembali dengan siri anime sukan lain di Jepun seperti Ao Ashi atau Haikyuu, ianya berbeza daripada segi konteks cuba dibawa oleh Blue Lock kerana sikap setiakawan dan berpasukan perlu dielakkan.
Lebih menarik, Blue Lock juga tampil ekstrem menerusi bahasa yang digunakan dalam siri tersebut. Persaingan dalam akademi itu digambarkan sebagai suatu peperangan buat setiap pemain dan hanya menang mampu membuatkan mereka meneruskan kelangsungan hidup dalam sana.
Kalah dalam persaingan, bererti anda gagal dan hanya mereka yang berjaya akan terus kekal bertahan sehingga segalanya tamat dan sang juara diumumkan oleh Ego.
Pengendali akademi, Ego juga menjadi topik perbincangan menarik kerana ada yag menganggap beliau selaku antagonis kerana sikap kejamnya yang menyingkirkan terus pemain gagal tanpa sebarang peluang.
Namun, karakter beliau unik dan mempunyai sebab untuk dipertahankan daripada bergelar antagonis kerana Ego mengesahkan sendiri visinya cukup tepat jika Jepun ingin merebut kejuaraan Piala Dunia.
Terarah kepada salah satu watak pemain dalam siri ini, Kensuke Kunigami, beliau bermula sebagai seorang yang mempunyai sikap setiakawan dan menyanjung tinggi adiwira sebagai motif motivasinya di atas padang.
Selepas beliau tersingkir, Ego memberi peluang kepada beliau menerusi tiket ‘wild card’ dan dirinya menjalani ujian semula secara individu dengan keras.
Hasilnya, beliau kembali semula selaku pemain yang cukup ego dan menepis semua kepercayaan lalu untuk menjadi salah satu penyerang terbaik akademi berkenaan kini.
Perubahan yang berlaku buat Kunigami bukan suatu tragedi atau rasa trauma, tetapi inilah sisi kejayaan diinginkan oleh Blue Lock. Seorang penyerang bersifat ego.
Apapun, ianya tetap bergantung kepada pemahaman anda sendiri dalam dunia bola. Sama ada ego perlu menjadi keutamaan atau sifat setiakawan dan berpasukan masih penting dalam dunia bola sepak buat penyerang.
Bagaimana pandangan anda?









