Mbappe: “Pakai But Dulu Baru Sembang Pasal Bola”
Entah, yang penyokong ni kadang-kadang memandai sangat bagi buah pendapat. Bukannya betul pun.
Bintang bola sepak Perancis, Kylian Mbappe tampil dengan kenyataan mengenai perbandingan antara dua legenda, Cristiano Ronaldo serta Lionel Messi.
Bercakap tentang kedua legenda ini, ianya merupakan topik yang sering dibangkitkan dalam kalangan penyokong tentang siapa lebih hebat daripada segi pengaruh atas padang.
Sejak zaman prestasi Ronaldo dan Messi memuncak suatu ketika lagi, masing-masing mempunyai hujah tersendiri mana satu yang lebih bagus dan layak bergelar ‘GOAT’ dalam dunia bola sepak.
Malah, perbincangan itu seolah tidak akan berhenti walaupun Ronaldo dan Messi kini sedang berada pada penghujung karier mereka untuk membuktikan betapa berpengaruhnga kedua individu berkenaan.
Tetapi, Mbappe menepis setiap hujah dan perdebatan yang dibuat dalam kalangan peminat dan tampil menyatakan pandangannya sendiri tentang kedua ikon tersebut.
Mbappe tak suka berdebat
Menurut Mbappe, setiap ungkapan daripada peminat seperti Ronaldo bagus kerana usaha dan Messi cemerlang disebabkan bakat semula jadi merupakan sesuatu yang mengarut.
Kata penyerang Perancis itu, tiada siapa berhak menentukan asbab kedua pemain berkenaan bagus kerana mereka tidak berada di sekeliling Ronaldo atau Messi dan bermain bola sepak.
“Ada nampak saya setuju dengan kenyataan yang Ronaldo bagus kerana usaha keras atau Messi hadir dengan bakat semula jadi? Itu kata-kata daripada mereka yang tak pernah bermain bola sepak.
“Dalam semua hujah saya, saya nak kata ini. Kedua pandangan tersebut saya tak setuju. Itu kata-kata daripada penyokong yang tak main bola sepak. Nak tahu sebab apa?
“Kalau kamu duduk sana dan katakan kepada saya Ronaldo tak ada bakat dan Messi tak kerja keras, ini bermakna kamu sehari pun tak pernah pakai but bola dan menjalani sesi latihan seperti mereka.
“Entah lah, saya sendiri sampai sekarang tak faham bagaimana jika ada orang yang memakai but bola dan harungi latihan setiap hari akan berkata sebegitu tentang Messi atau Ronaldo,” ulas Mbappe.
Kenyataan Mbappe dianggap tepat
Dalam kalangan penyokong di media sosial, ramai bersetuju dengan pandangan diberikan oleh Mbappe kepada mereka yang membuat pelbagai andaian mengenai Ronaldo serta Messi.
Ini kerana pandangan sedemikian kadangkala menyebabkan ada yang menganggap Messi tak perlu berusaha keras dalam bola sepak, dan Ronaldo umpama tidak mempunyai bakat serta perlu berusaha mencapai tahap sebegini.
Namun ada juga menyanggah pandangan Mbappe dengan menyatakan tidak ada mana-mana penyokong pun membuat hujah seperti dikatakan pemain berkenaan.
Apapun, kedua pemain ini tidak akan berjaya jika mereka tidak giat berusaha melebihi apa kita mampu bayangkan dan kekal konsisten sehingga kini dalam dunia bola sepak profesional.





