Mbappe Kini Setaraf Ronaldo
Pada usia 27 tahun, akhirnya Mbappe berjaya menyamai rekod yang dilakar oleh Ronaldo!
Bila tiba saingan Piala Dunia, pastinya beberapa pemain akan menjadi tumpuan dek prestasi mereka yang cukup gah bersama negara masing-masing.
Sejak kebelakangan ini, generasi baharu seperti Kylian Mbappe sering menjadi sebutan ramai penyokong ekoran reputasi beliau yang boleh dikatakan cukup gah bersama Perancis di saingan tersebut.
Pada usia baru 27 tahun, sudah pelbagai kejayaan dikecapi Mbappe dalam dunia bola sepak profesional. Baik bersama kelab, atau buat negara diwakilinya, Perancis.
Malah, Mbappe juga antara pemain muda yang beruntung suatu ketika kerana beliau menjadi antara tonggak yang membantu Perancis meraih kejuaraan Piala Dunia pada edisi 2018.
Untuk edisi 2022, Mbappe sekali lagi menjadi tunjang penting yang membawa Perancis ke pentas akhir sebelum mereka disingkirkan oleh Argentina di Qatar.
Pada musim 2026, Perancis sekali lagi menjadi tumpuan dan Mbappe pastinya antara menjadi perhatian ramai dek kerana sumbangan besarnya di posisi serangan negara tersebut.
Mbappe setaraf Ronaldo Nazario
Selepas mengharungi enam perlawanan Piala Dunia, yang sekali gus memastikan Perancis ke separuh akhir, Mbappe sekali lagi berada di puncak teratas bersama Lionel Messi selaku penjaring semasa terbanyak.
Tetapi, suatu perkara lain yang kita perlu lihat pastinya terarah kepada sumbangan jaringannya juga yang cukup menyerlah sepanjang mengharungi enam perlawanan ini.
Selepas menyumbang sesuatu yang positif pagi tadi ketika mengatasi Maghribi, Mbappe kini secara rasminya sudah meledak lapan gol peribadi dan tiga bantuan jaringan.
Selain menyamai rekod Messi kini, Mbappe juga sudah pun sebaris Ronaldo Nazario yang merupakan legenda bola Sepak Brazil daripada segi jumlah jaringan di satu kejohanan Piala Dunia.
Malah, gandingan Mbappe bersama Ousmane Dembele juga kini berjaya menyamai rekod jaringan yang dilakukan Ronaldo suatu ketika bersama pasangannya, Rivaldo.
Ini merupakan ringkasan jumlah jaringan mereka untuk satu kejohanan Piala Dunia:
Piala Dunia 2002
•Ronaldo: 8 gol
•Rivaldo: 5 gol
Piala Dunia 2026
•Mbappe: 8 gol
•Dembele: 5 gol
Posisi serangan Perancis cukup ampuh
Tak dinafikan Perancis antara negara pada saingan musim ini yang dilimpahi dengan ramai pemain serangan berpengaruh untuk diketengahkan.
Malah, pasukan itu sebenarnya mempunyai seorang lagi penyerang handalan yang terpaksa diketepikan sebelum saingan Piala Dunia akibat kecederaan, Hugo Ekitike.
Skuad semasa Perancis kini bukan hanya tertakluk kepada Mbappe, Ousmane Dembele, Desire Doue, Michael Olise, dan Dembele semata-mata untuk menggempur kubu pertahanan lawan.
Sebaliknya, mereka turut mempunyai pemain serangan berkualiti lain di bangku simpanan seperti Bradley Barcola, Rayan Cherki, dan Jean-Philippe Mateta untuk dipertaruhkan mengikut kesesuaian strategi permainan.
Dengan berbaki perlawanan masih ada, sukar untuk kita lihat bagaimana Didier Deschamps bakal mempertaruhkan Mbappe lagi untuk terus menjulang Perancis di pentas Piala Dunia serta cuba mengulangi skrip 2018.






