Matias Nahuel Tamat Kontrak Kelab Israel Sebab Palestin
Bekas pemain Villarreal ini menamatkan kontraknya dengan Maccabi Haifa lantaran tidak tahan dengan kegilaan genosida rejim Zionis di Gaza.
Di kala jendela perpindahan pemain sedang dibuka sekarang, pasti ada beberapa perpindahan pemain yang tak menjadi. Kebanyakan kes disebabkan ketidaksesuaian taktikal pasukan dengan gaya permainan pemain tersebut. Tetapi ada juga kes di mana perpindahan pemain tak menjadi atas sebab yang tak boleh diramal pun dalam laporan mana-mana peninjau bakat. Kisah 22 bulan Matias Nahuel di liga Israel termasuk dalam kategori kedua itu. Pemain sayap Sepanyol-Argentina ini baru sahaja menamatkan kontraknya dengan Maccabi Haifa, bukan atas sebab bola sepak — sebaliknya atas sebab kemanusiaan.
Nahuel, 29, tiba di Haifa pada September 2024 ketika tempoh yang digambarkannya sebagai ‘agak tenang’. Dalam masa beberapa hari, ketenangan itu terhenti. “Saya dan keluarga ada di hotel apabila saya mendapat panggilan telefon menyuruh kami pindah ke hotel lain sebab serangan bom akan bermula,” imbasnya. “Terkejut kami mendengarnya.”
Apa yang berlaku selepas itu adalah keputusan paling logik bagi seorang bapa dan suami seperti Nahuel: dia terus menghantar isteri dan anak-anaknya balik ke Sepanyol beberapa hari selepas sampai, dan tinggal di Israel secara berseorangan.
Bapa dahulu, baru pemain bola sepak
“Saya buat keputusan keadaan ini tak sesuai untuk keluarga saya,” kata Nahuel. “Dalam kepala saya, saya tak fikir bola sepak dah; saya cuma fikir anak-anak saya, pastikan mereka selamat daripada sebarang situasi yang mungkin berlaku di sini.”
Ia adalah kenyataan normal dari mana-mana ibu bapa yang hidup di negara bergolak. Tetapi apabila ia diutarakan oleh seorang atlet profesional, yang masih ada kontrak, di sebuah kelab yang bergantung harap kepada servisnya, kenyataan itu agak janggal. Nahuel berhati-hati, cuba mengelak menceritakan pengalamannya kepada media Sepanyol, AS, dengan lensa politik. Apabila ditanya tentang kritikan warga dunia terhadap genosida Israel di Gaza, dia menjawab: “Saya tak sokong mana-mana pihak secara politik. Saya cuma sokong dunia yang saling tolong-menolong, dan tidak berbunuhan antara satu sama lain.”
Pendirian Nahuel jelas sekali neutral. Dan ia pendirian terbuka yang normal bagi seorang ‘pekerja asing’ dalam sebuah institusi di Israel. Tetapi bagi Nahuel, keneutralan tidak bermakna tidak peduli. “Kenapa banyak kematian? Kenapa banyak bom? Kenapa? Kepala saya tak boleh fokus kepada bola sepak,” katanya.

Kecederaan di sebalik kecederaan
Dalam masa beberapa bulan, prestasi dan tahap kecergasan Nahuel merosot, menyebabkan kecederaan yang dia sifatkan berpunca daripada kemerosotan kesihatan mentalnya.
Dakwaan Nahuel ini disokong oleh sains. Semakin ramai pakar psikologi sukan mengesan kaitan pendedahan kepada konflik kepada atlet elit. Pemain yang hidup di negara yang aman sentiasa mempunyai kelebihan berbanding pemain yang hidup di zon perang. Cerita Nahuel, jika dikupas konteks bola sepaknya, boleh dibaca sebagai testimoni kesan hidup di zon konflik: tidur terganggu, kesihatan mental merosot, dan akhirnya menjejaskan kesihatan fizikal.
Nahuel cuba meminta bantuan daripada pengurusan Maccabi Haifa, memohon supaya dia dapat berpindah ke kelab lain seawal jendela perpindahan pertamanya. Ejennya berjaya mendapat satu tawaran dari sebuah kelab Poland. Tetapi Maccabi Haifa enggan menjual. “Kalau sesebuah kelab nampak pemain tak beraksi dengan baik, selalu cedera, duduk asing dengan keluarganya, tapi tetap halang bila pemain dapat tawaran untuk keluar — itu maknanya kelab itu tak memainkan peranannya untuk membantu pemain,” jelas produk akademi Villarreal itu.
Apabila dia akhirnya dibenarkan untuk keluar dari kelab secara pinjaman, ke Jagiellonia Białystok di Poland, masanya dah terlalu lambat untuk menyelamatkan musimnya. Dia menyertai skuad yang tidak memerlukan khidmatnya pun.
Mahu menyertai kelab yang sesuai untuk keluarganya
Ketika mengimbas masanya di akademi Villarreal dan skuad Sepanyol yang menjuarai UEFA European Under-19 Championship, Nahuel memanggil bekas-bekas rakan sepasukan dan jurulatihnya sebagai “sebuah keluarga”. Beberapa rakan sepasukannya, Mikel Merino dan Rodri, baru sahaja menjuarai Piala Dunia 2026. Dia turut memuji bekas ketua jurulatihnya di skuad bawah-21, Luis de la Fuente, kerana kualitinya mengurus manusia, dan ketajaman matanya mencungkil bakat pemain simpanan, sepertinya, sehingga menjadi juara.
Bukan semua temuramahnya dengan AS tentang nostalgia. Perlahan-lahan ia menjadi sesi kalibrasi keutamaan dalam hidupnya. “Keluarga adalah segala-galanya bagi saya,” katanya. “Selepas apa yang saya hadap, saya takkan berpisah dengan mereka lagi, tak kiralah macam mana teruk pun keadaannya.”
Kini sebagai pemain ejen bebas, selepas ini, Nahuel mahu bermain untuk kelab yang selamat untuk keluarganya, di bandar yang selamat untuk keluarganya. “Saya nak keluarga saya selesa, anak saya pergi sekolah dengan gembira, dan mereka bangun pagi tanpa fikir ada sesuatu yang buruk bakal berlaku,” katanya. “Saya nak cari ketenangan supaya saya boleh beri 100% kepada pasukan.”
Ia adalah hajat yang zuhud bagi seorang pemain, yang tidak lama dahulu, diburu kelab-kelab utama Eropah kerana kelajuan dan tekniknya. Mana-mana kelab yang mengambilnya akan mendapat pemain yang meletakkan keamanan di atas semua sebab-sebab lain yang mendorong seorang pemain untuk berhijrah kelab.



