Masih Terlalu Awal Beri Kepercayaan Kepada Michael Carrick?
Prestasi semasa Manchester United sangat gah kini, dengan Michael Carrick berjaya memacu pasukan tersebut di landasan positif.
Sehingga kini, dua kemenangan di pentas English Premier League (EPL) sudah dilakar pengurus berkenaan dengan Machester City dan Arsenal sudah menjadi mangsa.
Ironinya, kedua kelab tersebut merupakan pendahulu liga dan mempunyai pemain serta percaturan taktikal sangat ampuh terdahulu, sebelum menjadi mangsa Man United.
Bercakap tentang kemenangan terbaharu Man United ke atas Arsenal sebelum ini, ia merupakan suatu kejayaan terbesar buat Carrick kini, kerana mereka menumpaskan pendahulu liga.
Malah, mereka menjadi kelab pertama sejak tahun 2023 untuk meledak tiga gol ke atas Arsenal, dan ia turut dilakukan di gelanggang pasukan lawan.
Selain itu, Carrick juga memastikan penatian lapan tahun Man United untuk mrnamatkan badi tanpa kemenangan di Emirates akhirnya direalisasikan tatkala, prestasi semasa The Red Devils jika diikutkan bukan berada pada tahap terbaik lagi.
Daripada segi percaturan permainan di atas padang, Carrick telah mengubah formasi 3-5-2 kepada sistem empat pertahanan semula untuk memberi lebih keseimbangan.
Pemain yang terpinggir sebelum ini seperti Kobbie Mainoo juga mula mendapat tempat dalam pasukan untuk menjadi individu penting menggerakan segalanya dari tengah.
Malah, Bruno Fernandes juga kembali ditolak beraksi lebih tinggi semula yang menjadikan siri serangan dan kreativiti Man United tampak menyakinkan sejak dua aksi lalu.
Patrick Dorgu antara paling menyerlah, dengan Carrick membuat percaturan berani untuk menjadikan pemain tersebut dalam kesebelasan utama di bahagian kiri.
Dari sudut lain, kebanyakan pemain mengakui perbezaan yang berlaku dalam pasukan kini bawah kendalian Carrick, kerana pengendali tersebut lebih menekankan soal tanggungjawab selaku pemain Man United.
Apapun, pengendali yang juga bekas pemain legenda The Red Devils itu enggan terbuai dengan kejayaan dan mengakui untuk sentiasa merendah diri dan tidak meletakkan harapan tinggi kepada peminat.
Pada masa sama, Micah Richards dan Wayne Rooney sendiri tampil dengan pujian kepada pendekatan semasa Carrick bersama kelab tersebut yang dianggap cukup ‘menjadi’.
Timbul persoalan jika Carrick sudah boleh dicadangkan selaku pengurus tetap Man United dengan tawaran kontrak bersifat jangka masa panjang, selepas melihat kepada prestasi semasa beliau.
Di media sosial, ada yang menyokong jika Carrick terus dikekalkan kerana beliau mempunyai latar belakang yang bagus bersama rekod positif buat pasukan tersebut.
Tetapi, ada turut membantah dan tidak mahu sejarah Ole Gunnar Solksjaer berulang kembali walaupun mempunyai permulaan karier sangat positif.
Pada pandangan kami, dua kemenangan ini mungkin cukup penting untuk menggambarkan apa mampu dibuat oleh Carrick bersama Man United.
Tetapi cabaran akan datang mungkin lebih getir, kerana Carrick bakal diuji daripada segi konsistensi permainan dan perlu sentiasa membuat perubahan dalam permainan kerana sudah tentu banyak lagi pasukan lawan akan menilai taktikal pengendali tersebut.
Bagaimana pandangan anda?










