Malaysia akhirnya bakal mengharungi aksi terakhir mereka dalam saingan Piala Asean FIFA 2026 hari ini, bagi penentuan tempat ketiga menentang cabaran Vietnam.
Terdahulu, skuad negara terpaksa menelan hakikat pelaung mereka ke pentas akhir kejohanan tersebut berkubur, apabila kebangkitan kontroversi dilakukan Indonesia menyaksikan kita tewas daripada segi perbezaan gol sahaja.
Pada aksi terdahulu, Malaysia tampil cemerlang mengetepikan Singapura menerusi kemenangan 6-0, manakala Indonesia unggul atasi Bangladesh dengan jaringan lewat permainan dengan keputusan 9-2.
Walaupun begitu, Tan Cheng Hoe tetap berpeluang untuk membanggakan negara, jika mereka mampu mencatat kemenangan pada aksi penentuan tempat ketiga ini mengatasi Vietnam.
Walaupun begitu, ada kegusaran tetap dilontarkan penyokong, terutama sekali daripada segi rekod lampau serta keadaan semasa kem Harimau Malaya dalam kalangan pemain.
Rekod tak begitu baik
Daripada 10 pertemuan terakhir, ianya memihak kepada Vietnam apabila negara tersebut mencatat 9 kemenangan, termasuk di pentas Piala AFF baru-baru ini bagi dua aksi berturut-turut.
Malaysia pula hanya mampu mencatat satu keptusan seri sekali sahaja bertemu Vietnam, selain kemenangan dicatat Harimau Malaya pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 lalu dibatalkan secara rasmi oleh FIFA.
Rekod negatif ini menyaksikan Tan Cheng Hoe perlu memikirkan solusi yang bagus untuk cuba meraih kemenangan pertama Malaysia secara sah, selepas beliau gagal melakukannya pada dua perlawanan lalu ketika bertemu negara berkenaan.
Malaysia serba tempang
Lebih perit sebelum hadapi Vietnam hari ini, Malaysia terpaksa akur dengan kehilangan dua tonggak mereka yang dianggap cukup penting buat Malaysia, Dion Cools (pertahanan), dan pemain sayap lincah, Faisal Halim.
Untuk Faisal Halim, pemain ini telah mengalami kecederaan sebelum aksi menentang Singapura lalu lagi dan terpaksa diketepikan juga bagi perlawanan menentang Vietnam hari ini.
Manakala Cools pula tidak dapat meneruskan baki perlawanan bersama Malaysia, kerana pemain pertahanan kental berkenaan mempunyai urusan keluarga yang perlu diselesaikan.
Ketiadaan dua tonggak ini menyaksikan Tan perlu membuat beberapa rombakan dalam kalangan pemain utama untuk dipertaruhkan dalam senarai kesebelasan utama menentang Vietnam.
Masanya untuk Harith Haiqal?
Pertahanan Selangor ini bukan lagi satu nama asing buat skuad senior negara, apabila beliau sudah pun mencipta 14 penampilan di pentas antarabangsa, serta turut merekodkan satu gol.
Apa yang menarik, Harith sendiri sebelum ini pernah mencipta kerjasama dengan Tan ketika pengendali berkenaan bersama Selangor beberapa musim lalu sehingga mampu mengangkat kualiti pemain berkenaan.
Salah satu kelebihan Harith yang menarik untuk diperkatakan, apabila beliau merupakan pertahanan yang mempunyai naluri terbaik untuk menyumbang jaringan dan sudah pun dibuktikan.
Ini memberi kelebihan buat negara yang sudah tentu ingin mendapatkan gol ketika berdepan Vietnam dan Harith menawarkan keseimbangan terbaik untuk pertahanan serta membantu serangan negara.
Pavithran atau Hidalgo?
Kedua pemain ini mempunyai keupayaan masing-masing untuk menjadi pemain sayap berbahaya kepada pertahanan lawan, dan sudah terbukti di pentas antarabangsa bersama negara.
Namun daripada segi ketenangan dan kreativiti, Hidalgo lebih sesuai di posisi berkenaan, dan Paulo Josue mungkin dibawa masuk awal untuk mengisi posisi tengah serangan negara dan membantu Bergson da Silva di bahagian hadapan.
Apapun, ianya terserah kepada Tan sendiri untuk mengatur para pemain negara, dan kami mengharapkan Malaysia mampu mencatat kemenangan pada hari ini berdepan Vietnam, serta membanggakan negara.







