Masa Untuk Malaysia Turunkan ‘Senjata Misteri’ Ini!
Nak lawan pasukan seperti Vietnam, kita perlukan beliau.
Debaran aksi separuh akhir Piala Asean 2026 makin terasa, dengan perlawanan berkenaan akhirnya akan bermula malam ini buat Malaysia menghadapi Vietnam.
Sebelum itu, aksi Singapura dan Thailand sudah pun berlangsung dengan kemenangan berpihak kepada skuad kendalian Anthony Hudson melalui kemenangan 3-1.
Ini bermakna mereka hanya selangkah sahaja lagi ke final, dan perlawanan membabitkan Malaysia serta Vietnam bakal menjadi tumpuan ramai para penyokong, untuk melihat siapa membuka peluang awal mara di pusingan akhir.
Atas kertas, ramai menjangkakan Vietnam mungkin akan mencatat kemenangan ke atas Malaysia, walaupun Harimau Malaya beraksi di halaman sendiri.
Namun, dalam bola sepak segalanya tidak mustahil dengan Malaysia juga dilihat tetap mempunyai peluang untuk memperoleh kemenangan.
Masa untuk Ibrahim Manusi
Di media sosial, pelbagai pendapat telah dilontarkan para peminat sebelum saingan malam ini yang dianggap cukup penting berlangsung.
Salah satu pandangan ramai, sudah tentu terarah kepada percaturan Tan Cheng Hoe yang merupakan pengendali utama skuad Harimau Malaya dalam menentukan kesebelasan utama berdepan pelawat.
Antara pemain yang ditagih untuk beraksi pada aksi berkenaan terarah kepada bintang tengah bertahan, Ibrahim Manusi yang masih belum diberi peluang beraksi.
Ibrahim menjadi antara pemain yang dibawa Tan ke saingan berkenaan dan masih lagi belum mencipta sebarang penampilan sejak di peringkat kumpulan lagi.
Kualiti Ibrahim vs Vietnam
Seperti kita ketahui, Ibrahim antara pemain serba boleh dan mempunyai kualiti fizikal serta stamina cukup tinggi di atas padang, serta beliau sudah pun membuktikannya terdahulu.
Walaupun kurang beraksi pada saingan lalu, keupayaan fizikal dan mentaliti bertahan beliau dianggap menjadi aset penting buat Malaysia untuk menghadapi serta menyerap siri serangan daripada Vietnam.
Jika dinilai pada aksi-aksi beliau terdahulu, Ibrahim mempunyai kualiti untuk beraksi selaku pemain tengah bertahan serta pertahanan tengah mengikut kesesuaian taktikal.
Kenapa Ibrahim diperlukan?
Dalam saingan Piala Asean kali ini, Vietnam antara pasukan yang cukup berbisa di posisi serangan menerusi kualiti pemain dimiliki serta telah terbukti sejak peringkat kumpulan.
Untuk meningkatkan disiplin pertahanan dan mengelak risiko dibolosi, kehadiran pemain yang mempunyai fizikal terbaik seperti Ibrahim sangat diperlukan bagi mengurangkan ancaman pasukan lawan.
Apa gunanya, kita terlalu sibuk mendapatkan gol, jika bahagian belakang negara begitu terbuka seperti apa telah dilalui Indonesia ketika bertemu Vietnam lalu.
Kehadiran Ibrahim sedikit sebanyak dianggap mampu membantu pertahanan negara menjadi lebih baik jika pemain itu sendiri berada dalam prestasi menyakinkan.
Apapun, ianya terserah kepada Tan sendiri, kerana beliau lebih mengenali pemain dan mengetahui apa diperlukan negara untuk menentang Vietnam.
Semoga kita memperoleh keputusan yang baik sebagai bekalan penting ke gelanggang lawan pada pusingan kedua nanti.





