Selepas tewas pada aksi suku akhir kedua Piala FA 26/27 di tangan Star City, penyokong Selangor jelas meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial dengan pelbagai kritikan yang keras.
Ya, secara hakikatnya, The Red Giants sebenarnya sudah pun melayakkan diri mereka ke separuh akhir menerusi keputusan agregat 6-4, untuk bertemu Kuching City pada saingan seterusnya.
Cuma, kebanyakan penyokong kelab tersebut tidak berpuas hati dengan kekalahan yang diraih Selangor pada perlawanan berkenaan walaupun mereka berkelebihan beraksi di halaman sendiri dan disokong ribuan peminat kesayangan.
Ini juga menjadi kekalahan pertama Selangor pada musim 26/27, dan mereka tewas dengan aksi yang boleh dianggap cukup teruk selepas beberapa perubahan dibuat oleh Kim Pan-gon selaku pengendali.
Walaupun cemerlang mendahului lawan di separuh masa pertama, entah mengapa segalanya tampak serba tidak menjadi sehingga mereka mudah dibolosi pelawat pada babak kedua permainan.
Import Selangor dikecam
Selain kritikan kepada corak permainan kelab yang dianggap kurang menarik dan begitu rapuh untuk menghadapi tekanan pelawat, kualiti beberapa pemain Selangor juga dianggap gagal memenuhi jangkaan ramai.
Penyerang Selangor, Kay Tejan antara mendapat kritikan keras penyokong ekoran impak dipamerkan beliau pada posisi hadapan kelab jelas begitu menghampakan.
Di media sosial, ada yang mempersoalkan dari mana Selangor mendapat pemain import tersebut atas kualiti ditampilkan beliau tidak menyakinkan terutama pada perlawanan tersebut.
Selain itu, tonggak tengah baharu The Red Giants, Peter Makrillos juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa kritikan penyokong dengan ramai beranggapan kualiti beliau masih gagal menyaingi bekas bintang Selangor, Noor Al-Rawabdeh.
Malah, Peter menjadi asbab mengapa Selangor dibolosi gol buat kali kedua pada perlawanan tersebut atas kealpaannya menyedari bahaya ditampilkan siri serangan lawan.
Selangor perlu bangkit
Tanpa ramai pemain utama pada aksi berkenaan kerana masalah kecederaan dan penggiliran dibuat oleh Kim dalam kesebelasan utama, jelas ia menjadi salah satu masalah besar buat Selangor.
Selain posisi pertahanan yang rapuh, aspek kreativiti di posisi serangan juga boleh dianggap sangat lemau tanpa kelibat Faisal Halim, Hugo Boumous, serta peledak utama, Chrigor Moraes.
Kim perlu memikirkan solusi baharu dalam menaikkan kualiti setiap pemain berada pada tahap optimum dan sentiasa bersedia untuk dibawa turun dalam mana-mana perlawanan akan datang.
Jika tidak, inilah yang bakal dihadapi The Red Giants jika mereka beraksi tanpa kelibat pemain-pemain utama yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan kelab seperti Moraes dan Faisal Halim.
Apapun, Kim masih mempunyai masa dan beliau perlu menilai semula para pemain dan kesesuaian mereka untuk beraksi di posisi lebih bagus bagi memberikan impak besar kepada pasukan pada aksi akan datang.






