Man United Diimpikan Sudah Kembali
Dah lama penyokong-penyokong Man United tak merasai kepuasan sebenar dalam memberi sokongan kan?
Apa lagi hendak diperkatakan tentang Manchester United kini, melainkan semua tentang perkara positif sahaja dicatat pasukan berkenaan.
Selepas bermusim-musim melalui fasa tidak konsisten dan sering menjadi bahan ejekan lawan, kini mereka boleh berpuas hati dengan prestasi semasa ditampilkan pasukan berkenaan di atas padang.
Sebelum itu, Man United berjaya merekodkan kemenangan 3-1 ke atas Aston Villa ketika aksi berlangsung di laman sendiri, Old Trafford dengan aksi menyakinkan.
Kemenangan itu juga sekali gus melonjakkan kedudukan semasa The Red Devils kini di tangga ketiga dengan 54 mata telah dikumpul skuad kendalian Michael Carrick.
Ini juga menjadikan peluang Man United untuk kembali bermain di pentas UEFA Champions League juga semakin cerah jika mereka mampu mengekalkan konsistensi tersebut sehingga ke penghujung musim.
Bruno Fernandes curi tumpuan
Pada aksi lalu, segalanya bukan berkisarkan kepada percaturan taktikal Carrick sahaja sewaktu berdepan Aston Villa, tetapi bintang utama, Bruno Fernandes turut mencuri tumpuan.
Dua ‘assist’ dicipta pemain ini pada aksi tersebut terus menjadikan nama Bruno sebagai antara pemain tengah terbaik di EPL kini, selain aksi menyakinkan terus dicipta tonggak Portugal berkenaan.
Musim ini sahaja, Bruno telah memecahkan rekod baharu untuk menjadi pemain Man United paling banyak mencipta ‘assist’ dalam sejarah bagi satu musim, dengan beliau telah memintas David Beckham.
Sehingga kini, Bruno telah pun menyumbang 24 jaringan secara keseluruhan bersama Man United bagi musim 25/26, dan dijangka jumlah tersebut bakal bertambah sebelum tirai saingan berakhir.
Selain Bruno, pemain seperti Casemiro juga antara yang mendapat penghargaan para peminat The Red Devils di media sosial menerusi impak telah diberikan.
Peminat puas hati
Semenjak Carrick mengambil alih Man United selaku pengurus bagi menggantikan khidmat Ruben Amorim, boleh dikatakan rata-rata peminat cukup berpuas hati dengan prestasi pasukan berkenaan.
Tidak hanya tertakluk kepada keputusan perlawanan sahaja, gaya permainan dan kualiti para pemain turut mengalami peningkatan yang cukup drastik dan telah dibuktikan dengan sangat baik.
Ketika ini, ramai yang mahu Carrick terus dikekalkan pada saingan akan datang selain beliau diberi kebebasan memilih pemain berkualiti untuk terus memantapkan pasukan tersebut.
Tak kurang ada peminat yang menganggap penantian mereka untuk melihat Man United yang gah di pentas EPL akhirnya telah pun kembali dan berjaya menjadi antara kuasa besar England semula.
Apapun, konsistensi kini perlu dipertahankan Carrick untuk sekurangnya berada dalam kelompok tiga terbaik sebelum tirai saingan berakhir tidak lama lagi.





