Mampukah Kuching City ‘Kejutkan’ JDT?
Musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) masih lagi kebal tanpa sebarang kekalahan di pentas Liga Super musim 2025/2026.
Selepas mengharungi 14 perlawanan, masih tidak ada mana-mana kelab yang mampu untuk mengatasi skuad Harimau Selatan, atau sekurangnya mengikat keputusan seri.
Jelas selain memiliki skuad yang serba lengkap di kesebelasan utama dan simpanan, pasukan kendalian Xisco Munoz ini juga mempunyai sesuatu yang tidak ada pada kelab lain, konsistensi.
Dengan 42 mata maksima dikumpul kini, sukar untuk kita menafikan JDT berpeluang cerah untuk terus mengekalkan status mereka selaku juara bertahan di pentas Liga Super.
Bagi aksi hari ini, JDT bakal melayan kunjungan Kuching City yang dianggap sebagai satu lagi pasukan cukup kuat selain Harimau Selatan, dan kini gah pada tangga ketiga liga.
Dengan berkelebihan satu perlawanan berbanding KL City di tangga kedua, skuad kendalian Aidil Sharin berpeluang untuk mrmintas kedudukan berkenaan jika mereka mampu melakar kemenangan.
Persoalannya, adakah Kuching City mampu mengejutkan cabaran JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI)?
Jika kita telusuri aksi JDT-Kuching City pada awal musim ini, mereka telah bertembung sebanyak tiga kali dan semua kemenangan berpihak kepada Harimau Selatan.
Walaupun begitu, ada sesuatu yang menarik untuk diperkatakan mengenai tiga kali pertemuan tersebut, kerana Kuching City berjaya memberi cabaran cukup sengit sejak awal perlawanan sehingga ke wisel penamat.
Sudah tentu Aidil Sharin sendiri menganalisa segala kelemahan dan kelebihan lawan untuk perlawanan ini, demi mengelak mereka terus menjadi mangsa kelalahan JDT.
Jika dilihat pada kejutan sering dilakar mereka sejak musim lalu ke atas beberapa pasukan, dan hanya JDT sahaja kekal ampuh untuk mengetepikan momentum Kuching City.
Bagi aksi hari ini, kami melihat JDT bakal mempertaruhkan barisan pemain terbaik dengan salah seorang daripada mereka terarah kepada Manuel Hidalgo.
Kelincahan dan ketajaman beliau sudah tentu akan menjadi pertaruhan utama hari ini di posisi serangan, selepas Hidalgo tampil menonjol ketika berdepan Negeri Sembilan.
Untuk Kuching City pula, Ronald Ngah Wanja dijangka menjadi pertaruhan utama Aidil Sharin untuk menggempur kubu pertahanan lawan serta mencerahkan peluang mereka mendapatkan gol.
Daripada segi prestasi semasa, sudah tentu kemenangan dianggap ‘berat’ kepada JDT selain faktor beraksi di halaman sendiri.
Namun, Kuching City juga hadir dengan impian tinggi untuk cuba mengejutkan pasukan tuan rumah walaupun cabaran mereka dilihat sangat sukar.
Pandangan anda, siapa bakal memenangi aksi tersebut hari ini?




