Akhirnya, Malaysia menamatkan saingan Piala Asean FIFA 2026 di tangga ketiga, selepas kejayaan mereka menundukkan Vietnam pada aksi penentuan yang berlangsung petang tadi..
Pada aksi itu, Malaysia berjaya mengetepikan cabaran lawan menerusi kemenangan 1-0, sekaligus menamatkan penantian 10 perlawanan tanpa menang bertemu Vietnam di pentas antarabangsa.
Apa yang menarik, Tan Cheng Hoe membuat pertaruhan berani mati pada aksi berkenaan, apabila beliau menyenaraikan beberapa pemain simpanan dan meletakkan tonggak utama seperti Arif Aiman di bangku simpanan.
Tanpa Faisal Halim yang cedera, Dion Cools bersama urusan keluarga, dan Arif di bangku simpanan, ini merupakan kejayaan besar dilakar Malaysia bertemu salah satu jaguh Asia Tenggara pada tahun 2026.
Satu jaringan daripada bintang muda, Fergus Tierney sahaja sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan Harimau Malaya dan meletakkan diri mereka selaku tiga terbaik kejohanan Piala Asean FIFA divisyen 1.
Statistik yang cukup gah
Walaupun berada di tempat ketiga terbaik, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengekalkan ‘clean sheets’ dalam semua perlawanan sejak di peringkat kumpulan lagi.
Dalam empat perlawanan diharungi, Malaysia kekal tidak dibolosi sebarang gol ketika bertemu Bangladesh, Indonesia, Singapura, dan Vietnam di saingan penentuan tempat ketiga terbaik.
Malaysia juga menjadi antara negara yang cukup produktif dalam menghasilkan gol, dengan 10 gol direkodkan negara kesayangan kita ini dalam empat perlawanan diharungi.
Dengan beberapa gandingan pemain baharu seperti Syahir Bashah, Nathaniel Shio Hong Wan, Bradley Tapp, Manuel Hidalgo, dan Bergson da Silva, segalanya berjalan lancar bawah kendalian Tan Cheng Hoe.
Paling menarik, pastinya ketika kita menewaskan Vietnam semalam yang pada mulanya dianggap sebagai suatu lagi aksi sukar buat pasukan negara hadapi dengan tidak ramai meletakkan jangkaan tinggi.
Tetapi pada akhirnya, kita berjaya memperoleh gol, konsisten tidak bolos, dan merangkul gelaran tiga terbaik kejohanan di bumi Indonesia dengan sangat cemerlang.
Pujian buat Tan Cheng Hoe
Sukar untuk kita nafikan sumbangan besar Tan dalam kejohanan ini yang membawa negara ke arah jalan cukup positif semenjak awal saingan berlangsung.
Dengan pemain yang dimiliki, Tan memastikan segalanya tidak sia-sia apabila semuanya berjaya memainkan peranan penting ketika dibawa turun beraksi dan memberi impak penting kepada pasukan.
Malah, Fergus Tierney yang sebelum ini menjadi bahan kritikan sesetengah penyokong berjaya mendapatkan gol cukup penting buat Malaysia hasil kepercayaan tinggi diletakkan Tan buat bintang berkenaan.
Paling mengujakan, Tan memastikan dua kekalahan dihadapi negara ketika bertemu Vietnam lalu tidak berulang dengan pengendali tersebut berani membuat perubahan dan berjaya mengejutkan lawan.
Ini membuktikan pengendali tempatan kita sebenarnya cukup bagus dan masih boleh diberi kepercayaan penuh jika kena pada caranya dan telah dibuktikan oleh Tan bersama Harimau Malaya.
Raja tanpa mahkota
Apapun, nasib Malaysia kali ini cukup unik untuk diperkatakan dalam saingan Piala Asean FIFA 2026 jika kita lihat pada statistik dan kualiti dipersembahkan.
Malaysia meraih kemenangan tiga aksi dan mencatat satu keputusan seri tanpa dibolosi sebarang gol, tetapi gagal ke final disebabkan perbezaan jaringan sahaja.
Ianya boleh diumpamakan sebagai raja tanpa mahkota, menguasai segalanya dalam perlawanan, tapi tidak mampu meraih kejuaraan utama saingan tersebut.
Apapun, tahniah Malaysia atas pencapaian diraih untuk berada di tangga ketiga kejohanan berkenaan dengan segala-gala ditampilkan cukup positif sejak tirai saingan bermula, dan semoga kita mampu untuk melangkah lebih jauh pada masa hadapan.






