Malaysia Main Dengan 10 Pemain Ke?
Tak nampak sebarang impak beliau di atas padang semalam!
Malaysia secara rasminya berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Asean 2026, selepas mereka unggul di tangga kedua Kumpulan B bersama sembilan mata dikumpul.
Kejayaan itu terhasil, selepas Malaysia mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Filipina semalam di Cheras, menerusi ledakan tunggal daripada bintang muda meningkat naik negara, G. Pavithran.
Sepanjang aksi berlangsung, kedua pasukan tampil dengan berhati-hati apabila bola lebih banyak berlegar di tengah padang daripada menghampir kubu gol masing-masing.
Walaupun begitu, Malaysia kekal menyakinkan dengan penguasaan bola serta lebih banyak mencipta peluang-peluang menarik, terutama di separuh masa kedua untuk mendapatkan gol.
Walaupun begitu, ada beberapa rasa tidak puas hati tetap dilontarkan oleh peminat mengenai prestasi semasa ditampilkan oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
Paulo Josue main ke?
Salah satu kritikan yang dilontarkan oleh peminat di media sosial terarah kepada penyerang utama Malaysia, Paulo Josue yang dianggap langsung tidak memberikan sebarang impak.
Pada aksi tersebut, Josue dipertaruhkan sekali lagi selaku penyerang utama dan menafikan nama pemain lain seperti Hadi Fayyadh serta Syafiq Ahmad.
Sepanjang permainan berlangsung, tidak banyak ancaman berbahaya dapat dilakukan oleh Josue, selain tiada langsung sebarang percubaan tepat direkodkan penyerang naturalisasi ini.
Bagaimana dengan statistik Josue?
Berikut merupakan statistik ringkas dan grafik ‘heat map’ penyerang tersebut menerusi perkongsian oleh Sofascore kepada Josue.
•90 minit permainan
•0 gol
•0 bantuan jaringan
•0 hantaran kunci
•2 percubaan tidak tepat
•2 kali ‘offsides’
•20 sentuhan
•3 kali hilang penguasaan bola
Jelas Josue seolah kehilangan punca pada aksi semalam dan kedudukan beliau juga lebih banyak berlegar di luar petak penalti lawan selain kerap kehilangan bola.
Disebabkan itu ada peminat di media sosial yang secara sinis menganggap Malaysia seolah beraksi dengan 10 pemain sahaja pada perlawanan semalam.
Secara keseluruhan dalam empat perlawanan ini, statistik sumbangan Josue sebenarnya masih lagi bagus dan boleh dipuji apabila beliau merekodkan 3 gol peribadi.
Namun, sejak dua aksi lalu prestasi Josue dilihat seolah menurun dan gagal memberikan impak besar kepada siri serangan Harimau Malaya.
Ada rombakan lain?
Berkemungkinan, Tan bakal membuat beberapa perubahan terutama sekali daripada segi aspek serangan serta pertahanan negara yang kurang konsisten.
Hadi yang masih belum diberi peluang beraksi turut mempunyai peluang untuk mencipta penampilan sulungnya buat skuad senior negara di pentas separuh akhir.
Posisi pertahanan juga menyaksikan Faris Danish mungkin akan terus dikekalkan, selain kualiti Alif Ahmad sahaja masih diragui untuk sekali lagi menjadi pertaruhan utama.
Apapun, tahniah sekali lagi buat Malaysia yang akhirnya berjaya melayakkan diri ke pentas separuh akhir saingan Piala Asean 2026 ini.





