Malaysia Hilang Bintang Paling Bernilai!
Suatu kehilangan yang pastinya sangat dirasai sebelum harungi aksi akan datang.
Persoalan secara tiba-tiba timbul dalam kalangan peminat tentang kelibat Wan Kuzain buat kem skuad kebangsaan sebelum ini.
Sehingga kini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe sudah mula membuat persiapan untuk aksi separuh akhir kejohanan Piala Asean 2026 yang bakal bermula tidak lama sahaja lagi.
Namun, kelibat pemain tersebut langsung tidak kelihatan dalam perkongsian foto baharu daripada laman rasmi Malaysia NT di media sosial, sehingga mencetuskan beberapa persoalan dalam kalangan peminat.
Selepas melihat perkongsian terbaharu Wan Kuzain di media sosial, pemain tersebut belum menyatakan status semasa jika beliau terus kekal atau tidak bersama kem kebangsaan untuk aksi seterusnya.
Tetapi, beliau ada memuat naik foto terbaharu bersama kem kebangsaan sambil menyatakan, “Terima kasih Malaysia” yang mula mencetuskan rasa bimbang dalam kalangan penyokong kesayangan negara.
Sehingga laporan terbaharu daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mengesahkan Wan Kuzain sudah pun pulang ke Amerika Syarikat dan tidak lagi bersama skuad kebangsaan.
Wan Kuzain cemerlang buat Malaysia
Tidak dinafikan, Wan Kuzain merupakan antara pemain yang sangat cemerlang buat Malaysia sejak penampilan pertama beliau ketika berdepan Myanmar lalu dari bangku simpanan.
Sepanjang empat perlawanan ini, Wan Kuzain berjaya memberikan impak besar daripada segi kreativiti, keseimbangan di posisi tengah, dan membantu dalam siri serangan skuad kebangsaan.
Statistik pula menunjukkan beliau telah menyumbang dua jaringan sepanjang mengharungi empat perlawanan, termasuk satu bantuan gol ketika menghadapi cabaran Filipina.
Keresahan peminat
Maka tidak menghairankan jika ramai peminat resah akan kehilangan Wan Kuzain bagi mengharungi aksi selanjutnya, kerana impak pemain itu sendiri dianggap sangat tinggi.
Ada yang menganggap ketiadaan Wan Kuzain sudah tentu akan memberi kekurangan buat Malaysia pada aksi seterusnya bertemu Vietnam daripada segi penguasaan posisi tengah serta kreativiti serangan negara.
Dengan prestasi semasa SC Jacksonville yang berada di kedudukan terakhir liga, sudah tentu kelibat Wan Kuzain ditagih semula bagi membantu mereka memperbaiki segalanya terutama daripada segi kutipan mata.
Endrick kembali semula?
Pada masa sama, kelegaan juga buat kem kebangsaan kini apabila Endrick dilaporkan sudah kembali menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan Harimau Malaya menerusi perkongsian Malaysia NT.
Terdahulu, Malaysia kehilangan khidmat Endrick yang menjadi tunjang utama buat kreativiti serangan Malaysia akibat kecederaan telah dialami ketika menghadapi cabaran Laos sebelum dirinya digantikan dengan Wan Kuzain.
Pada aksi berdepan Thailand dan Filipina, Tan Cheng Hoe terpaksa melupakan khidmat Endrick yang menyaksikan segalanya tampak serba kekurangan terutama sekali ketika mereka mencatat kekalahan di tangan Thailand.
Jika benar Endrick sudah sembuh, maka Malaysia boleh menarik nafas lega kerana beliau dapat mengisi semula kekosongan sebelum itu dihuni oleh Wan Kuzain buat posisi tengah negara.
Buat Wan Kuzain, terima kasih atas sumbangan anda buat skuad Harimau Malaya sepanjang mengharungi kempen Piala Asean 2026 dengan cukup cemerlang dan meraih pujian penyokong.






