Liverpool Tak ‘Makan Nasi’ Ke?
Semua serba longlai, seolah The Reds memang pasang niat nak sedekah kemenangan dah buat Man City.
Liverpool sekali lagi tampil dengan aksi mengecewakan semalam, apabila mereka merekodkan kekalahan cukup mengaibkan di pentas suku akhir Piala FA 25/26.
Terdahulu, skuad kendalian Arne Slot tewas 0-4 di tangan Manchester City ketika aksi berlangsung di Stadium Etihad dengan aksi ditampilkan, serba tidak menjadi.
Seawal perlawanan, kedua pasukan tersebut sebenarnya seimbang dalam menguasi permainan sebelum jaringan penalti Erling Haaland pada minit ke-39 mengubah segalanya.
Liverpool tiada kreativiti
Entah mengapa, mereka seolah dilamun dengan kekecewaan penalti tersebut sehingga gagal memberikan fokus penuh untuk tampil lebih dinamik dalam mencipta peluang jaringan.
Sebaliknya, City terus meningkatkan intensi permainan mereka dan memperoleh jaringan kedua menerusi Haaland sebelum menutup tirai separuh masa pertama.
Tampil Antoine Semenyo dan Haaland yang meledak gol peribadi ketiga terus meletakkan Liverpool dalam keadaan sukar, apabila ketinggalan 0-4.
Lebih menyakitkan hati, Mohamed Salah gagal untuk menghidupkan sedikit peluang buat diri mereka, apabila beliau gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-65.
Secara keseluruhan pada aksi tersebut, Liverpool ketara lemah pada bahagian:
•Pertahanan yang longgar
•Mental para pemain
•Kreativiti meningkatkan ancaman serangan
Amukan peminat berterusan
Siapa tidak marah jika pasukan kesayangan mereka beraksi dengan aksi yang cukup mengecewakan di segenap posisi tanpa merekodkan sebarang gol.
Apatah lagi ini menjadi kekalahan kali kedua berturut-turut buat skuad kendalian Slot di pentas domestik dengan aksi yang jelas sangat mengecewakan.
Di media sosial, pelbagai kritikan diberi oleh penyokong Liverpool kepada pasukan kesayangan mereka, dengan nama Slot turut menjadi sasaran untuk dibuang.
Ketika ini, nama Slot menjadi salah satu asbab kemarahan peminat dengan mereka menganggap faktor kelemahan Liverpool musim ini termasuk aksi semalam, disebabkan gaya pengurusan beliau.
Tidak dinafikan musim ini Liverpool tampil begitu malap sekali dalam semua aksi domestik, termasuk kedudukan mereka sendiri di tangga kelima liga, selain ditimpa isu konsistensi dan kecederaan pemain.
Untuk menyalahkan Slot sepenuhnya juga tidak boleh, kerana beberapa pemain Liverpool sendiri mempamerkan penurunan daripada segi prestasi permainan yang menjejaskan percaturan taktikal pengendali tersebut.
Apapun, Liverpool kini hanya berpeluang satu trofi sahaja lagi untuk diraih musim ini, saingan UCL, apabila mereka sudah berada di pentas suku akhir kejohanan berkenaan.
Suka atau tidak, Slot perlu mengesan dan memperbaiki segala kelemahan semasa Liverpool, dan membuat penggiliran pemain bersesuaian untuk dipertaruhkan.





