Liverpool & Marseille Serba Tempang Tanpa 8 Pemain
Liverpool pada awal pagi nanti bakal menghadapi cabaran kelab dari Perancis, Olympique de Marseille bagi aksi terbaharu UEFA Champions League (UCL).
Pertemuan kedua pasukan ini sebenarnya boleh kita katakan cukup menarik, kerana masing-masing mempunyai isu yang cukup besar kini daripada segi konsistensi.
Walaupun begitu, skuad kendalian Arne Slot mungkin sedikit bernasib baik kerana mereka hanya memerlukan keputusan seri sahaja untuk mara ke pusingan seterusnya.
Cuma isu buat Liverpool kini, sudah tentu Marseille tidak akan memberi laluan mudah, apatah lagi mereka bakal bermain di halaman sendiri, Orange Velodrome yang turut akan dipenuhi peminat setia tuan rumah.
Walaupun tidak wajib menang, Slot memiliki cabaran tersendiri dalam usaha untuk mengelak kesilapan mudah yang sering menghantui skuad kendalian beliau sehingga beberapa keputusan terdahulu tidak memihak Liverpool.
Marseille yang berada pada kedudukan lebih bawah kini pula sudah pun mengumpul sembilan mata, dan kemenangan menjadi keutamaan pasukan tersebut jika mereka ingin mara ke pusingan seterusnya.
Daripada segi prestasi semasa, skuad kendalian Roberto de Zerbi masih segar dengan kemenangan besar 5-2 mereka baru-baru ini ketika Marseille menewaskan Angers.
Dengan corak permainan agresif dan penguasaan bola di atas padang, sudah tentu pasukan ini mampu memberi cabaran cukup besar kepada Liverpool yang mengimpikan keputusan positif.
Tetapi, jangan dilupakan juga isu konsistensi mereka yang kadangkala melepaskan mata penting ketika ramai beranggapan Marseille mampu melakukannya.
Untuk aksi ini, masing-masing hadir dengan skuad serba tidak lengkap atas isu kecederaan menjadi antara sebab utama yang mungkin mengganggu persiapan pengendali masing-masing.
Liverpool tanpa penyerang termahal mereka
Untuk Liverpool, Conor Bradley, Alexander Isak, dan Giovanni Leoni terpaksa melupakan aksi ini kerana masing-masing mengalami kecederaan yang memaksa mereka diketepikan untuk tempoh lebih panjang.
Terarah kepada Mohamed Salah pula, pemain ini tidak mengalami isu kecederaan, tetapi beliau baru sahaja menyelesaikan tugasan antarabangsa bersama Mesir di pentas AFCON 2025.
Kepulangannya yang sedikit lewat mungkin menyaksikan pemain tersebut tidak akan digunakan oleh Slot untuk berdepan cabaran Marseille pagi ini.
Marseille tempang di posisi pertahanan
Untuk Marseille pula, pasukan tersebut terpaksa melupakan khidmat pertahanan kiri utama, Derek Cornelius yang dilaporkan mengalami kecederaan cukup serius.
Pemain pengganti seperti Geoffrey Kondogbia dan beberapa pemain kurang berpengalaman lain dianggap kurang membantu untuk mengisi kekosongan tersebut.
Terarah kepada pemain lain seperti Ruben Blanco (penjaga gol simpanan) dan Bilal Nadir yang dijangka tidak akan bersama Marseille pula dianggao bukan satu masalah, kerana mereka bukan tonggak utama.
Siapa bakal menonjol?
Hugo Ekitike dijangka bakal menjadi senjata utama buat Liverpool untuk mereka meningkatkan hub kreativiti dan ketajaman di posisi serangan pagi ini.
Manakala Marseille sudah tentu akan mempertaruhkan Mason Greenwood yang kini cemerlang selaku mesin gol pasukan tersebut di pentas domestik.
Jangkaan atas padang
Marseille pastinya akan mempraktikkan corak permainan agresif mereka seperti kebiasaan dalam usaha untuk mendapatkan gol serta tiga mata penting. Ini penting bagi mereka cuba mendapatkan slot ke pusingan seterusnya.
Manakala Liverpool mungkin akan hadir dengan lebih berhati-hati dan mereka tidak mempunyai keperluan utama mendapatkan gol atau kemenangan kerana seri sudah cukup memadai.
Bagaimana pandangan anda pula?










